Selasa, 8 November 2011

Firdaus, Fituris Futuristik!


TIDAK BANYAK YANG BOLEH  DIGAMBARKAN JIKA MELIHAT HERO PILIHAN INI HANYA MELALUI LUARANNYA. DI SEBALIK RUPA YANG BERSAHAJA, TERSEMBUNYI IMPIAN DIRI YANG BEGITU TINGGI, JUGA CERITANYA TENTANG PENGORBANAN. MARI KENALI MOHD FIRDAUS ASRAF RUSLI YANG LEBIH MESRA DENGAN PANGGILAN DAUS INI. BOLEH CERITAKAN SEDIKIT TENTANG DIRI KAMU?
Saya anak jati Kuala Lumpur, dilahirkan dan membesar sepenuhnya di sini. Anak  sulung daripada empat orang adik-beradik dan seorang bekas pelajar dari Maktab Tentera DiRaja Malaysia. Kemudian saya berjaya menamatkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan segulung Diploma Perakaunan. Kini saya sedang meneruskan pembelajaran dalam bidang profesional di Institute of Chartered Secretaries and Administrators (ICSA).
APAKAH YANG AKAN KAMU LAKUKAN JIKA BERKELAPANGAN?
Kebiasaannya menunggang motosikal merupakan  salah satu perkara yang biasa saya lakukan dalam waktu senggang. Saya begitu meminati motosikal  berkuasa tinggi, namun saya hanya mampu memiliki Aprilia RS125 buat masa sekarang. Selain itu, saya juga gemar memasak. Pada saya, tidak menjadi sesuatu yang asing di dalam dunia lelaki masa kini jika kami bergiat dalam aktiviti seperti memasak. Sukar untuk saya nyatakan, perkara yang saya lebih minati adalah mendandan rambut! Selalunya adik perempuan akan meminta bantuan saya untuk mendandan rambut sekiranya dia perlu menghadiri sesuatu majlis. Mahu tidak mahu,terpaksalah saya menolong.
DEFINISI SEORANG “LELAKI SEJATI” PADA KAMU?
Sekiranya saya ditanya dengan soalan seumpama ini, jawapan saya amatlah  mudah. A difference between a man and a boy is the ride. Ini merupakan jawapan bagi penggemar sukan permotoran seperti saya. Lagi hebat motosikal yang dimiliki, lagi gah nama atau pendirian seseorang lelaki itu. Akan tetapi bagi saya definisi sebenar lelaki sejati tidak tertakluk kepada klise sesetengah pihak yang hanya berdasarkan rupa yang kacak, badan yang mantap atau suara yang garau. Lelaki yang sejati seharusnya membawa makna seseorang yang menghormati kaum Hawa, tidak dayus dan tidak akan menyakiti mereka dalam apa jua keadaan sekalipun.
TERANGKAN ERTI PENGORBANAN PADA DIRI KAMU?
Segala apa yang dilakukan dalam  kehidupan seharian boleh dianggap sebagai pengorbanan. Ini bermakna perlunya saya membuat pengorbanan diri dari segala aspek termasuk dari segi fizikal, hidup dan rohaniah. Sebagai contoh, perkaraperkara yang boleh memalukan nama baik keluarga, bangsa dan agama perlu saya hindari walaupun sebagai remaja, runtunan perasaan serta darah muda tentunya akan menjerumuskan kepada pelbagai keinginan untuk mencuba perkara baru.
SEBAGAI SEORANG REMAJA, APAKAH PENGORBANAN TERBESAR YANG  PERNAH KAMU LAKUKAN DAN SEJAUH MANA IA MEMBANTU DIRI KAMU UNTUK TERUS MAJU?
Saya pernah memberi sedekah kepada seorang makcik yang tinggal di kaki lima  walaupun pada ketika itu wang tersebut adalah duit poket terakhir saya pada minggu itu. Pada ketika itu saya sedang belajar di Johor Bahru. Melihatkan keadaan dirinya yang daif sebegitu rupa, tersentak hati kecil saya untuk menyerahkan wang belanja terakhir tersebut. Saya sedar pengorbanan tersebut bukanlah sebesar mana jika hendak dibandingkan tetapi sedikit sebanyak ia dapat mengajar diri saya untuk lebih bersyukur dengan apa yang dikurniakan dalam hidup, bahkan lebih prihatin terhadap orang serta dunia sekeliling.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan