Selasa, 22 November 2011

ERA fm Raikan Kejayaan Harimau Muda!









Semalam, ERA fm, HITZ fm bersama-sama dengan Joe Flizzow dan Altimet telah menyerang Restoran Barra di Seksyen 7 Shah Alam. Kemeriahan ini turut juga disertai oleh warga Shah Alam yang datang dan berkongsi hanya satu tujuan yang sama iaitu untuk menyaksikan perlawanan akhir bola sepak antara Malaysia dan juga Indonesia di dalam merebut piala emas Sukan Sea 2011 di Palembang, Indonesia. 

Kemeriahan ini turut sama dirasai oleh penyampai-penyampai ERA yang turut hadir dan memeriahkan lagi perlawanan ini. Sama bersemangat seperti 100 ribu orang yang berada di Stadium Gelora Bung Karno, penyampai-penyampai ERA telah tiba lebih awal kerana tidak mahu terlepas menyaksikan perlawanan yang bersejarah ini.


Haniff, Ray, Shac, Dina dan Rizal telah menyertai kemeriahan sambutan kemenangan ini bersama-sama dengan penyampai-penyampai AMP lain yang turut sama bersorak tanpa henti di sepanjang perlawanan. 

Seperti yang telah dijanjikan, 100 orang pertama telah pun diberikan hadiah yang menarik dari ERA. Bukan itu sahaja, mereka yang datang awal telah pun kami belanja makan dan minum sebagai bukti sokongan kami dan tanda terima kasih kepada penyokong skuad Malaysia. Kemeriahan dan kekecohan yang datang dari semangat para penyokong bola sepak tempatan ini mula dirasai seawal jam 7.30 malam lagi. 


Ramai yang telah datang ke Restoran Barra dan menyertai kemeriahan ini yang turut juga disertai oleh Ultras Malaya yang mengepalai pasukan sorak di sana. Kata-kata semangat dan laungan lagu-lagu Ultras Malaya sering kali dinyanyikan di setiap percubaan dan hasil tangkapan cemerlang penjaga gawang Malaysia yang menjadi hero pada perlawanan yang baru berlangsung ini, Khairul Fahmi Che Mat. 

Lagu Selamanya juga turut dinyanyikan beramai-ramai, dan yang memeranjatkan boleh dikatakan kesemua penyokong Malaysia boleh turut menyanyikan sekali lagu ini. Salute kami berikan kepada pasukan Ultras Malaya, yang juga tidak berpatah sesekali berpatah arang berkerat rotan di dalam memberikan sokongan yang padu buat pasukan Harimau Malaya.   






Pasukan Harimau Malaya ini telah selamat bertarung dan mencengkam si Garuda, setelah diundi masuk ke dalam pasukan maut, kumpulan A yang dianggotai oleh Malaysia, Thailand, Indonesia dan Cambodia. Sekali gus pasukan Harimau Malaya ini telah melengkapkan pungutan emas yang ke 59, bagi skuad kontinjen negara di Sukan Sea kali ke 26 ini. 

Tahniah buat para atlit kita yang berhempas pulas berhabis tenaga untuk menyumbangkan pungutan pingat emas buat tanah air yang tercinta. Nyata seperti yang telah diperkatakan ramai, skuad Harimau Muda bimbingan Ong Kim Swee mempamerkan aksi membanggakan dan menewaskan tuan rumah Indonesia menerusi penentuan penalti 4-3 selepas terikat 1-1 pada perlawanan sepenuh masa semalam.


Sebaik sahaja gol terakhir disumbat masuk oleh Baddrol Bakhtiar, kemeriahan di restoran Barra menjadi semakin memuncak dan bertukar gembira, meriah dan kecoh! Kemeriahan sorakan kemenangan ini merupakan bukti sokongan padu buat pasukan Malaysia yang kini telah sah menggenggam pingat Emas di dalam acara bola sepak Sukan Sea 26 pada tahun 2011 ini.  

Terima kasih kepada  semua yang terlibat dengan kemeriahan ini dan tahniah dari kami di ERA buat kontinjen Malaysia!




11/22/2011 9:55:16 AM | komen

Tiada ulasan:

Catat Ulasan