Isnin, 14 November 2011
Dira Bergaun Pengantin Tunggang Harley Davidson
KUALA LUMPUR, 14 NOVEMBER 2011: Hos Melodi, Dira Abu Zahar, 27, dan pasangannya Mohd Helmi Mohd Yusof,33, telah memberikan kejutan tersendiri apabila tiba di perkarangan Lanai, Matic dengan busana pengantin sambil menunggang motorsikal berkuasa tinggi Harley Davidson, pada majlis resepsi mereka malam semalam.
Kelainan yang dibawakan kedua mempelai tersebut adalah ditujukan khas untuk resepsi perkahwinan mereka di Kuala Lumpur selepas selamat bernikah di rumah keluarga Dira, di Merlimau Melaka, 11 November lalu.
Ketibaan Dira dan Mohd Helmi di perkarangan tersebut pada jam 8.50 malam itu, turut diiringi tujuh lagi motor berkuasa tinggi yang kemudiannya semakin meriah dengan percikan bunga api menghiasi kegelapan malam.
Dira yang ditemui selepas majlis tersebut berkata, idea menunggang motorsikal berkuasa tinggi miliknya itu sudah lama dirancang. Malah menjadi impian mereka berdua sejak sekian lama.
"Alhamdulilah, semuanya berjalan dengan lancar, walaupun ketika sampai di perkarangan Lanai ini cuacanya sudah sedikit gerimis. Saya sangat gembira apabila hajat untuk menunggang motorsikal sambil memakai baju pengantin akhirnya tercapai.
"Idea ini muncul kerana kami masing-masing memang meminati motorsikal berkuasa tinggi. Jadi, mengapa tidak kami laksanakannya ketika hari bersejarah kami sendiri.
"Ini adalah pengalaman pertama saya menunggang Harley Davidson sambil memakai baju pengantin. Ianya sangat menarik dan saya tiada masalah melakukannya.
"Lagipun baju saya ini telah direka khas oleh Anizam Yusof supaya sentiasa selesa ketika berada di atas motorsikal walaupun dalam persalinan pengantin," katanya.
Tidak cukup dengan kejutan tersebut, Dira melakukan kelainan lagi apabila membawa anaknya, Tengku Anggun Deandra Tengku Shafiz-Rullah, 3 (Tengku Anggun) iaitu hasil perkahwinan pertamanya bersama Ash atau Tengku Shafiz-Rullah As Syafiee Tengku Mohd untuk duduk bersamanya bersanding di atas pelamin.
Menurut Dira, dia bukan sengaja mahu mencipta kelainan, tetapi dia dan anaknya itu sememangnya tidak dapat dipisahkan walaupun ketika hari bahagianya bersama Mohd Helmi.
"Saya tak mahu dia rasa tersisih. Jadi dari awal lagi saya sudah berkata dengannya, walau apa pun terjadi dia (Tengku Anggun) mesti ada bersama saya.
"Demi menurut kata saya, nampaknya dia memang tidak melepaskan tangan saya sehingga kami naik ke atas pelamin," luahnya.
Sementara itu, Mohd Helmi mengakui bahawa Dira adalah pelengkap hidupnya.
Tambah sang suami itu, hubungannya bersama Tengku Anggun sudah lama terjalin dan rapat sebelum ini.
"Dira adalah seorang perempuan yang sangat berbeza dari wanita yang pernah kenali sebelum ini. Saya suka dengan cara pembawakan dirinya dan dari situ saya rasa dia adalah pelengkap dalam hidup saya.
"Tambahan pula, saya tiada masalah langsung untuk menerima Tengku Anggun seperti anak saya sendiri. Lebih-lebih lagi saya memang seorang individu yang sukakan kanak-kanak dan Tengku Anggun sudah selesa bersama saya sejak mula saya berkenalan dengan ibunya," jelas pengarah fotografi itu.
Pasangan ini mula rapat dan berkenalan pada tahun lalu ketika sama-sama terlibat dalam penggambaran filem Untuk Tiga Hari arahan Afdlin Shauki.
Bekas tunangan kepada model terkenal Nasha Aziz itu, telah melamar Dira selepas tiga bulan mengenali hati budi masing-masing
Bertemakan hitam putih, persandingan ringkas dan anggun itu tetap meriah dengan kehadiran teman rapat dan keluarganya selain rakan artis.
Antara rakan artis yang hadir adalah seperti Bornt Palarae, Sharifah Amani, Zahiril Adzim, Shera Ayob, Nabil Raja Lawak dan isteri serta Awal Ashaari dan Scha Al-Yahya.
Dira dan Helmi telah merancang untuk bercuti serta berbulan madu di Bali dalam masa terdekat, manakala ke Eropah pada hujung Disember ini.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan