Masalah senggugut bukanlah suatu perkara asing yang berlaku di kalangan wanita. Malah, hampir 85 peratus kaum wanita di dunia tidak terlepas dari gejala ini. Lebih merungsingkan sekiranya tarikh keramat dalam hidup jatuh pada tarikh datang bulan. Tentunya, anda tidak mahu merosakkan majlis raja sehari dengan masalah seumpama ini. Apatah lagi, majlis gilang-gemilang itu hanya sekali seumur hidup.
 
Masalah senggugut atau juga dikenali sebagai dismenorea adalah gejala di mana berlakunya kekejangan yang melampau pada otot rahim. Semasa berlakunya haid, dinding rahim akan mengeluarkan sejenis hormon yang dikenali sebagai ‘prostaglandin’. Hormon yang dirembeskan inilah yang akan menyebabkan berlakunya kekejangan pada otot rahim. Apabila hormon ini dirembeskan secara berlebihan, ia akan mengundang masalah senggugut dan menyebabkan berlakunya gangguan emosi.
 
Dismenorea selalunya berlaku selepas enam hingga 12 bulan kedatangan haid yang pertama. Namun, ia sebenarnya berbeza mengikut individu. Terdapat sesetengah individu yang mula mengalaminya setelah berumur 20 hingga 30 tahun. Walau bagaimanapun, gangguan ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu primer dan skunder.
 
Dismenorea primer hanya berlaku di peringkat remaja atau wanita sebelum berkahwin. Ia biasanya menyerang pada hari pertama dan kedua ketika haid dengan diiringi ganguan emosi yang tidak menentu. Usah bimbang jika ia berlaku kepada anda. Ini kerana, ia bukanlah disebabkan oleh masalah abnormal atau apa-apa ketumbuhan.
 
Gangguan ini selalunya disebabkan oleh ketidakseimbangan kimia yang terdapat dalam tubuh anda. Ketidakseminbangan inilah yang merembeskan hormon 'prostaglandin' yang mencetuskan rasa sakit melampau pada bahagian uterus. Selain itu, masalah genetik juga merupakan faktor berlakunya masalah gangguan dismenorea.
 
Manakala dismenorea sekunder pula adalah apabila berlakunya senggugut selepas dua atau tiga tahun kedatangan haid yang pertama. Ia selalunya berpunca daripada wujudnya sel endometrium di luar rahim yang menyebabkan berlakunya pendarahan di dalam rahim. Selain itu, senggugut juga boleh berlaku disebabkan oleh jangkitan kronik yang menyebabkan pendarahan haid berlanjutan dari tempoh biasa kedatangan haid . Ganguan ini selalunya boleh diubati dengan mengambil pil penahan sakit dan memerlukan anda mendapat rawatan lanjut daripada doktor.
 
SIMPTOM
Simptom-simptom senggugut biasanya menyebabkan seseorang wanita menghadapi masalah ganguan emosi seperti cepat marah, resah dan lesu dalam tempoh seminggu sebelum kedatangan haid. Namun, ia akan mula hilang selepas sehari atau dua hari semasa haid dan diiringi kekejangan pada pangkal rahim yang menyebabkan kesakitan melampau. Simptom-simptom senggugut adalah berbeza mengikut individu.
 
Antaranya:
• Perasaan ingin membunuh diri
• Panik yang tiba-tiba
• Perasaan sedih yang tidak menentu
• Perasaan marah berpanjangan
• Tidak berminat dalam aktiviti harian
• Hilang tumpuan
• Nafsu makan yang melampau
• Masalah tidur, insomnia atau hipersomnia
• Peningkatan atau penurunan nafsu seksual
 
Manakala simptom- simptom pada fizikal pula seperti rasa kembung pada bahagian perut, denyutan jantung yang tidak menentu, payudara menjadi sensitif, sakit kepala yang menyebabkan muntah-muntah dan hilang selera makan, dan sakit di bahagian sendi atau otot.
 
INFO: RISIKO SENGGUGUT
Ramai yang beranggapan masalah senggugut adalah satu perkara biasa yang berlaku di kalangan wanita. Namun, tahukah anda masalah ini sebenarnya mampu mengundang risiko kemandulan sekiranya tidak dirawat secara berkesan.
 
CARA RAWATAN
Bagi mencegah masalah ini, anda perlulah mendapatkan nasihat doktor untuk mengambil pil penahan sakit. Selain itu, anda juga perlulah menjalani hidup yang lebih sihat dengan beberapa panduan di bawah:
 
• Perbaiki diet demi meningkatkan zat yang terdapat dalam badan.
• Kurangkan pengambilan garam bagi mengelakkan rembesan 'prostaglandin' yang terlalu banyak.
• Perbanyakkan makanan yang mengandungi asid lemak Omega 3 yang tinggi untuk mengurangkan ganguan dismenorea.
• Elakkan pengambilan minuman berkafein yang akan mengganggu hormon anda seperti kopi, teh dan minuman beralkohol.
• Pengambilan vitamin tambahan.
• Berhenti merokok.
• Lakukan senaman di rumah untuk membantu peredaran darah dengan baik.
• Tenangkan fikiran.