Cinta, kasih dan sayang, perasaan yang indah bukan sahaja mampu menjadikan anda berasa gembira tetapi ia juga berupaya melawan penyakit, meningkatkan imuniti tubuh dan menurunkan stres. Ingin tahu bagaimana cinta mampu berbuat demikian, bacalah seterusnya….
Siapa yang tidak mahu dicintai dan mencintai? Walaupun para pengkaji tidak dapat memberikan kepastian bahawa kehangatan cinta berhubung kait dengan kehidupan yang lebih baik, tetapi mereka cuba mengaitkan bagaimana hubungan seksual, ikatan mesra dan sikap mengambil berat terhadap pasangan menjadikan kita lebih kuat, kesihatan bertambah baik dengan penyembuhan segera daripada penyakit sehinggalah kepada kawalan terhadap sesuatu penyakit kronik untuk jangka hayat yang lebih lama.
Kajian yang dilakukan oleh University of Pittsburg pada tahun lepas mendapati bahawa wanita yang mempunyai hubungan perkahwinan yang baik, boleh mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular berbanding mereka yang mempunyai hubungan yang retak.
Kajian oleh National Longitudinal Mortality yang dijalankan ke atas lebih sejuta orang sejak 1979, menunjukkan bahawa mereka yang berkahwin hidup lebih lama, kurang diserang penyakit jantung, risiko kanser yang rendah dan kurang diserang pneumonia berbanding mereka yang masih bujang.
Hubungan asmara yang hebat, percutian romantik dan komunikasi yang baik antara pasangan, ditambah dengan diet rendah kolesterol serta waktu rehat yang lebih lama mampu mengubah kesihatan anda kini dan selamanya. Namun, ramai pakar berpendapat, sentuhan mesra yang dilakukan setiap hari bukan sahaja membantu merapatkan hubungan tetapi juga menyihatkan minda dan fizikal anda.
Pelukan mesra yang kerap
Para doktor dari University of North Carolina membuktikan bahawa pelukan yang diberikan mampu menurunkan tekanan darah dan meningkatkan kadar oksitosin (oxytocin), hormon yang memberikan kelegaan terutamanya semasa bersalin, menyusukan anak dan mencapai orgasme. Kajian telah dijalankan ke atas pasangan yang diarahkan untuk duduk bersentuhan kulit sambil berbual selama 10 minit, kemudiannya berpelukan, setelah itu, para pengkaji mendapati bahawa perubahan positif dalam tekanan darah dan oksitosin. Namun, kuasa pelukan mesra yang kerap dilakukan lebih hebat.
Hormon oksitosin membantu wanita menjadi lebih mesra dengan persekitarannya. Namun, kebaikan paling besarnya lebih bersifat fizikal. Menyusukan bayi pastinya mempunyai kaitan dengan berkurangnya kadar kanser payudara dan melambatkan pertumbuhan sel kanser. Dalam erti kata lain, oksitosin berkaitan dengan kesihatan emosi, begitu juga dengan hubungan fizikal bersama pasangan.
Hubungan seksual yang sihat
Kajian yang dilakukan oleh Carl J. Chartneski, PhD, seorang profesor psikologi di Wilkes University dan penulis bersama buku Feeling Good is Good for You menyatakan bahawa melakukan hubungan seksual secara mingguan mungkin membantu tetapi melakukannya dengan kerap bukanlah sesuatu yang sihat.
Kajian dari University of Sheffield di England yang telah menemu bual 28 orang peserta yang telah berkahwin sekurang kurangnya 20 tahun mendapati hubungan seksual yang konsisten terus memainkan peranan dalam sesebuah perkahwinan. Menurut Sharron Hinchliff, PhD, pakar psikiatri yang menjalankan kajian tersebut, majoriti daripada peserta merasakan bahawa hubungan seksual membantu dalam meluahkan rasa cinta, komitmen dan kepercayaan.
Ikatan mesra yang erat
Walaupun hubungan seksual baik tetapi para pengkaji menyatakan bahawa hubungan seksual hanyalah salah satu aspek dalam perhubungan. Keajaiban sebenar dalam sesuatu hubungan ialah ikatan mesra yang erat. Rasa ‘bersatu’ yang dialami semasa senang dan susah merupakan satu sifat yang dikenali sebagai ‘penyatuan mutlak’ oleh Brian Baker, pakar psikiatri dari University of Toronto.
Kajiannya membuktikan bahawa ikatan mesra ini lebih memainkan peranan terhadap kebahagiaan dan kesihatan berbanding kehidupan seksual yang baik. Kajian beliau melibatkan 229 orang dewasa yang mengalami stres kerja. Walaupun mereka menghidapi tekanan darah tinggi pada peringkat awal, tetapi pasangan yang mempunyai ikatan rumah tangga yang mesra menunjukkan penurunan dalam sistolik tekanan darah sebanyak 2.5mm/ Hg dalam masa 12 bulan.
Interaksi yang hangat
Sesebuah hubungan cinta tidak akan lengkap tanpa perselisihan faham. Kebanyakan wanita beranggapan boleh mengubah tabiat lelaki, namun itu tidak bermakna sesebuah hubungan cinta juga harus berubah. Pasangan yang berselisih faham perlu belajar untuk menghangatkan interaksi dengan menggantikan pertengkaran mulut yang sinis dengan komen yang lebih membina.
Konflik dalam hubungan cinta adalah normal dan menyihatkan kerana ia merangsang sesuatu hubungan. Namun, ada perbezaan antara konflik yang sihat dengan konflik yang menurunkan imuniti anda. Pasangan yang tidak bahagia akan menghadapi konflik dengan bergaduh besar sehingga menyebabkan degupan jantung yang laju dan menghalang pasangan tersebut untuk mencapai persetujuan dan penyelesaian.