Keputihan atau lendir yang keluar melalui vagina sering kali menjadi
igauan ngeri buat kaum wanita. Selain memberikan rasa yang tidak selesa,
ia mampu menimbulkan bau yang kurang menyenangkan. Tentunya perasaan
rendah diri mula menghantui tatkala bersama dengan suami.
Keputihan adalah berbeza bagi setiap wanita. Terdapat segelintir wanita
yang hanya mempunyai kuantiti keputihan yang sedikit, ada yang
berketul-ketul, ada yang mengeluarkan cecair kekuning-kuningan serta
berbau, malah terdapat juga yang mempunyai keputihan seperti cecair
biasa dan tidak berbau.
Walau bagaimanapun, tahukah anda keputihan sebenarnya memainkan peranan
yang penting dalam kehidupan harian kita. Cecair keputihan sebenarnya
melindungi faraj daripada mengering atau sakit sebagaimana yang berlaku
kepada wanita yang sudah lanjut usia atau menopaus. Dengan wujudnya
keputihan ini, ia mampu mengawal lembapan semula jadi yang wujud di
sekeliling dinding faraj.
Cecair keputihan ini juga penting bagi melicinkan proses hubungan
kelamin. Ia membantu proses pergerakan sperma ke ovum wanita. Bagi
wanita yang telah mengalami proses menopaus, dinding faraj akan
mengeluarkan darah akibat daripada kekeringan di sekitar dinding faraj.
Dalam peringkat remaja, keputihan akan menjadi tidak menentu berdasarkan
hormon yang dikeluarkan oleh tubuh sepanjang hari selain daripada
keseimbangan pemakanan yang diambil seharian.
Namun, anda perlu ingat sekiranya keputihan itu terlalu banyak dan
mendatangkan bau yang tidak menyenangkan, anda dinasihatkan untuk
mendapatkan rawatan doktor. Ini bagi mengelakkan anda dijangkiti kuman
sifilis atau gonorea yang menyerang alat kelamin akibat daripada
hubungan intim atau mungkin disebabkan jangkitan kuman punca kanser
servik.
Cecair keputihan ini adalah disebabkan oleh rembesan hormon estrogen
dan progesteron yang terdapat di dalam darah. Jika ia dirembeskan secara
berlebihan, maka keputihan akan bertambah banyak. Ketika hamil, hormon
tersebut akan dirembeskan secara berlebihan dan menyebabkan wanita hamil
mempunyai keputihan lebih banyak. Selain itu, bagi mereka yang
mengambil pil hormon seperti pil perancang keluarga juga akan
mengeluarkan keputihan yang berlebihan. Emosi yang tidak terkawal juga
akan mengganggu hormon tersebut dan menyebabkan berlakunya pengeluaran
keputihan secara berlebihan.
Masalah keputihan serius yang tidak dikawal boleh menyebabkan
kemandulan kepada penghidap. Ini kerana, kuman tersebut boleh menyerang
ke kawasan tiup falopian. Selain itu, ia juga boleh menyebabkan
kesakitan ketika haid dan pendarahan yang banyak selepas melakukan
hubungan intim. Walau bagaimanapun, kuman yang menyerang faraj dan
pangkal rahim lebih ringan. Namun, boleh menimbulkan kesakitan ketika
bersetubuh dan pendarahan selepas bersetubuh. Tetapi ia tidak
menyebabkan kemandulan.
Tahukah anda?
Keputihan yang normal adalah jernih, tidak berbau dan tidak menimbulkan
rasa gatal pada permukaan faraj. Manakala keputihan yang abnormal
berwarna putih pekat atau seperti nanah serta berbau busuk dan diiringi
rasa gatal di kawasan sekitar faraj. Terdapat juga yang berwarna coklat
kemerahan kerana bercampur darah. Jika masalah ini berlaku kepada anda,
dapatkan rawatan doktor dengan segera.
Jenis jangkitan
Kuman: Bakteria jenis E-Coli sering menjangkiti faraj dan sistem
peranakan. Selain itu, kuman jenis sifilis dan gonorea juga antara
kuman yang menjangkiti alat kelamin. Ia biasanya berlaku akibat daripada
hubungan intim yang tidak selamat. Jika anda mengalami gejala seperti
pengeluaran lendir berwarna kehijauan, gatal dan berbau dapatkan nasihat
doctor dengan segera.
Kulat: Jangkitan kulat seperti monilia atau candida sering kali menjangkiti wanita hamil dan mereka yang menghidap kencing manis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan