Lakukan enam bulan sebelum majlis berlangsung...
Pasti kita berasa bangga tatkala orang terdekat memuji kelangsingan
tubuh kita. Lebih-lebih lagi menjelangnya hari bahagia sama ada majlis
pertunangan ataupun perkahwinan. Bukan mudah untuk menurunkan berat
badan dan bukan susah juga untuk berat badan kembali meningkat. Situasi
ini seringkali meresahkan anda yang bakal melangsungkan pertunangan atau
perkahwinan tidak lama lagi. Oleh yang demikian, beberapa bulan sebelum
menjelangnya hari bahagia anda, apa kata anda buat senarai semak untuk
rahsia pelangsingan yang betul.
1. Ukur berkala
Jadikan pita pengukur dan buku nota sebagai rakan karib anda. Sebelum
memulakan aktiviti riadah, ukur dahulu fizikal anda. Bermula dengan
ukuran berat badan, lilitan pinggul, dan lengan, anda catatkan ukuran
fizikal sebelum dan selepas melakukan aktiviti. Lakukan ukuran badan ini
sebagai rutin harian supaya anda boleh mengetahui perkembangan sama ada
aktiviti yang anda lakukan itu berhasil ataupun tidak. Jika teknik ini
berkesan, pasti si dia akan tersenyum lebar melihat perubahan anda itu.
2. Atur pola makan
Hari bahagia anda semakin hampir. Namun, berat badan yang diingini
masih belum menjadi realiti. Jika mahu mengurangkan berat badan, anda
harus mengubah pola makanan. Kurangkan makan makanan yang berlemak,
makanan yang manis, karbohidrat, dan juga air berkarbonat. Gantikan pola
makanan anda dengan makanan yang versi rendah lemak. Contohnya, jika
anda sukakan yogurt, cuba amalkan yogurt rendah lemak ataupun yogurt
kurang manis. Perubahan pola makanan yang konsisten ini mampu menjadikan
tubuh anda langsing sehingga tibanya hari bahagia itu.
3. Seimbangkan Keluar dan Masuk
Ada kalanya anda berasa gembira setiap kali melihat nombor pada
penimbang. Jika anda berjaya menurunkan berat badan, tidak semestinya
anda boleh terus mengulangi tabiat pemakanan yang dulu. Seimbangkan
kadar kemasukan makanan dengan kadar pengeluaran. Bagi anda yang gemar
makan dalam kuantiti yang banyak, pastikan aktiviti yang dilakukan juga
banyak supaya semua kalori dan lemak yang masuk akan terbakar. Jika mahu
tampil langsing di hari bahagia, anda haruslah berkorban sedikit dan
jangan rasa malas. Sudah tentu anda tidak mahu badan kelihatan
menggeleber ketika mengenakan busana pertunangan atau perkahwinan nanti.
Jadi, ubahlah sekarang.
4. Kawal Perasaan
Perasaan kadang-kadang boleh menjadi rakan karib atau musuh. Rasa
marah, gembira, sedih, semuanya berada di dalam fikiran. Begitu juga
dengan perasaan kenyang dan lapar. Kawal perasaan anda untuk makan
terutamanya makan makanan ringan ketika menonton televisyen. Jika
bakal-bakal pengantin di luar sana yang gemar makan coklat ketika marah,
anda harus tinggalkan tabiat tersebut. Kawal perasaan anda dan cuba
lakukan aktiviti lain ketika berasa marah.
5. Buat catatan
Seperti yang diperkatakan tadi, jadikan buku nota sebagai rakan karib
anda. Selain membuat catatan tentang ukuran badan, apa kata anda catat
manu makanan yang anda makan.Dengan cara ini, anda akan tahu punca
perubahan berat badan dan anda boleh mengetahui menu makanan mana yang
boleh menaikkan berat badan. Catatan ini boleh dilakukan setiap hari dan
jika tidak mempunyai masa, buatlah beberapa bulan sebelum tibanya hari
bersejarah anda. Jadikan tubuh langsing sebagai salah satu ‘target’ anda
pada hari bersejarah dalam buku catatan tersebut supaya anda akan ingat
setiap kali membukanya. Tentu anda seronok jika ‘target’ itu menjadi
kenyataan.
6. Bersenam
Jangan rasa malu atau malas untuk bersenam. Jadikan senaman sebagai
rutin harian atau pada hujung minggu anda. Anda tidak perlu pergi jauh
untuk bersenam. Cukup sekadar di rumah, impian tampil langsing di hari
bahagia boleh menjadi kenyataan. Jadikan halaman rumah, tangga, ruang
tamu, dan lain-lain sebagai tempat untuk anda mengeluarkan peluh. Selain
dapat menjaga bentuk tubuh, bersenam juga mampu meningkatkan stamina
dan kelihatan bertenaga. Seri pengantin anda pasti terserlah jika anda
mempunyai tenaga dan stamina yang kuat.
7. Lakukan Secara Berpasangan
Hari bahagia akan kunjung tiba namun semua usaha untuk kekal langsing
seperti tidak berkesan. Jangan cepat putus asa. Cuba anda lakukan teknik
ini. Jika anda malas untuk melakukan aktiviti riadah secara
berseorangan, carilah teman supaya anda lebih bersemangat untuk
beriadah. Ajaklah bakal suami anda untuk beriadah bersama-sama supaya si
dia dapat menyokong usaha anda itu. Cara ini bukan sahaja dapat
memberikan tubuh anda sihat, malah hubungan antara anda dan bakal suami
menjadi lebih erat. Jadikannya sebagai hobi atau aktiviti hujung minggu
supaya kedua-duanya akan tampil sihat dan ceria di hari bahagia.
8. Air Putih
Ramai yang tidak tahu akan kepentingan air putih. Bagi bakal-bakal
pengantin, air putih sangat penting kerana bukan sahaja boleh membantu
mengekalkan bentuk badan, malah air putih juga mampu mencantikkan kulit
anda menjadi halus mulus. Bagi anda yang gemar minum air manis, cuba
atasinya mulai sekarang. Bukan sahaja untuk hari bahagia anda, tapi
fikirkan untuk jangka masa yang panjang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan