Bakal mempelai boleh menggunakan buah-buahan segar seperti epal, oren
dan strawberi yang diproses untuk rawatan wajah. Ia boleh dilakukan di
rumah tanpa mengeluarkan perbelanjaan yang mahal. Buah-buahan ini selain
menyihatkan tubuh badan, ternyata ia ramuan mudah untuk olesan wajah.
Buah Oren
Buah oren merupakan sumber vitamin C yang baik, mengandungi
karbohidrat, potasium, folat, kalsium, thiamine, niasin, vitamin B6,
fosforus, magnesium, zat besi, riboflavin dan asid pantotenik ini juga
sangat rendah kalori. Hal ini bermakna, ia selamat dimakan oleh mereka
yang sedang berusaha menurunkan berat badan. Sebiji oren segar bersaiz
sederhana cuma mengandungi 60 – 80 kcal kalori.
Buah oren merupakan antioksidan yang sangat baik kerana mempunyai
vitamin C. Vitamin ini mudah larut air dan memainkan peranan penting
dalam proses pembentukan kolagen yang merupakan komponen dasar
pembentukan jaringan saraf di dalam tubuh badan. Pembentukan kolagen
yang baik sangat diperlukan untuk pembentukan ligamen, tendon, kulit,
pembuluh darah, dan tulang. Ia juga mampu membantu proses penyembuhan
luka.
Vitamin C yang terkandung di dalam buah oren bukan hanya bermanfaat
kepada kesihatan, tetapi juga untuk kecantikan kulit. Hal ini kerana
vitamin C dikenalpasti sebagai agen antioksidan yang sangat kuat dan
mampu melawan radikal bebas. Sebagai antioksidan, selain melindungi
kulit daripada pengaruh buruk radikal bebas, vitamin C juga mampu
memperkuatkan sel-sel kulit sehingga ia dapat memperbaiki jaringan yang
rosak dengan lebih cepat.
Untuk memelihara kesihatan dan menjaga keperluan vitamin C dalam tubuh
badan, anda disarankan supaya mengambil vitamin C sebanyak 30 – 100 mg
setiap hari. Keperluan ini sudah mencukupi dengan sebiji oren bersaiz
sederhana kerana ia mengandungi sekitar 70 mg vitamin C. Anda juga boleh
menikmati segelas (sekitar 225 ml) jus oren pada setiap hari jika tidak
mahu makan oren dengan begitu sahaja.
Buah Strawberi
Selain buah oren, strawberi juga mempunyai khasiatnya yang tersendiri.
Warna merah pada strawberi masak terdapat banyak khasiatnya. Ia kaya
dengan pigmen warna antosianin dan mengandungi agen antioksidan yang
tinggi. Tujuh zat antioksidan yang ada pada buah strawberi lebih tinggi
dibandingkan dengan buah atau sayuran lain dan ianya lebih efektif untuk
mencegah proses oksidasi pada tubuh.
Oksidan ialah proses penghancuran jaringan tubuh kerana radikal bebas.
Oksidan juga bertanggungjawab pada proses penuaan. Strawberi yang
dimakan teratur dapat menghaluskan kulit dan membuat warna kulit
kelihatan lebih cerah dan bersih.
Untuk mencantikkan wajah dengan menggunakan buah strawberi, anda boleh
melakukannya di rumah. Pertama sekali campurkan tiga buah strawberi dan
sesenduk teh madu, setelah itu hancurkan dan pastikan tidak terlalu
hancur. Oleskan pada wajah dan biarkan selama 30 minit. Setelah masker
sudah mengering, gosokkan dengan gerakan melingkar untuk meluruhkan
sel-sel kulit mati dan melancarkan peredaran darah. Setelah itu, basuh
dengan air suam. Lakukan rawatan ini seminggu sekali. Vitamin C pada
buah strawberi berkhasiat untuk mencerahkan kulit dan khasiat madu
adalah untuk melembapkan kulit.
Buah Epal
Keunikan buah epal ialah ia tidak mempunyai lemak, mengandungi
kandungan nutrien dan serat termasuk antioksidan yang meningkatkan
prestasi badan. Epal juga baik untuk mengurangkan risiko sakit jantung
dan kanser, sekaligus dapat mengurangkan kolesterol darah. Buah epal
sesuai digunakan untuk wajah yang berminyak. Caranya dengan mengambil 1
biji buah epal, kemudian dipotong-potong dan masukkan ke dalam pengisar.
Kemudian, kisar epal sehingga halus tanpa menggunakan air. Setelah
dikisar sapukan secara merata pada wajah anda. Sebelum menyapunya
seeloknya anda membersihkan dahulu wajah. Setelah penyapuan tersebut,
biarkan ia selama 20 minit dan kemudian bersihkan wajah dengan air suam
berserta air sejuk untuk membiarkan liang-liang pori terbuka. Lakukanlah
seminggu sekali untuk kesan terbaik. Dengan khasiat buah-buahan ini
dapat memberikan manfaat dan menjadikan wajah anda segar dan cantik
secara alami tanpa menggunakan ubat-ubat kecantikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan