Sebaik sahaja selesai diijab kabul, secara rasmi anda menjadi miliknya.
Jika dulu hanya sebagai kekasih, tetapi kini sebagai pasangan suami dan
isteri. Namun, anda sebenarnya bukanlah hanya berkahwin dengan dirinya
sahaja, bahkan juga seluruh anggota keluarganya. Lantaran itu, anda
harus membina hubungan baik dengan setiap ahli keluarganya.
Ini memandangkan dalam kehidupan berumah tangga, menjaga hubungan
dengan mertua menjadi antara tanggungjawab besar kepada seseorang yang
sudah bergelar suami atau isteri. Islam sendiri turut menyarankan kita
agar menghormati dan menyayangi ibu mertua seperti ibu kandung sendiri.
Bagi sesetengah orang, mertua sering kali dianggap menjadi penyebab
timbulnya konflik dalam rumah tangga. Bagaimanapun, tidak semua
berfikiran sedemikian kerana ada mertua boleh menjadi sahabat paling
akrab dan benar-benar membantu dalam rumahtangga. Kata orang tidak kenal
maka tak cinta. Jadi, ayuh selami hati budi ibu mertuamu.
1. Kenali Peribadi dan Harapan Ibu Mertua
Usaha membentuk hubungan yang harmoni antara dua belah pihak, anda
kenali dahulu peribadi ibu mertua anda. Ketahui minatnya, sikapnya,
harapannya mengenai perkahwinan anda. Dari mana anda boleh mendapatkan
maklumat ini? Tentu sahaja daripada sumber yang boleh dipercayai iaitu
suami anda sendiri. Mintalah suami untuk bercerita tentang ibunya dengan
jujur dan berbekalkan info tersebut lebih mudah untuk anda membina
hubungan yang baik.
2. Lakukan Hal Yang Menenangkan Hati Mertua
Sebagai menantu yang baik, anda perlu tahu bagaimana ingin mengambil
hatinya. Ada baiknya sekali sekala dihadiahkan sesuatu yang digemari
atau pun kirimkan buah tangan dan sebagainya untuk mengambil hatinya.
3. Lakukan Kegiatan Bersama
Sebagai seorang yang berusia, biasanya ibu mertua sering berasa
kesepian dan inginkan perhatian. Oleh itu, digalakkan anda dan suami
luangkan masa bersamanya. Lakukankegiatan bersama-sama untuk mengisi
kekosongan hati yang dirasainya. Umpamanya sesekali ajak ibu mertua
melakukan aktiviti makan di restoran, jalan-jalan di taman dan
sebagainya.
4. Lihat Sudut Positif
Walau terjadi konflik antara anda dan ibu mertua, jangan sesekali
memburukkan mertua kepada keluarga anda. Cukup sekadar anda kongsikan
masalah tersebut dengan suami anda sahaja. Itupun jangan luahkan keluhan
tersebut berkali-kali di hadapan suami. Seboleh mungkin cari dan lihat
sisi positif yang ada pada ibu mertua anda, seperti ibu mertua anda
pandai memasak dan sangat hebat mengurus rumah tangga.
5. Sedia Menerima Kritikan
Sebagai menantu, pasti anda pernah menerima kritikan daripada ibu
mertua. Daripada anda memendam rasa sakit hati berpanjangan, lebih baik
anda bersikap terbuka. Apatah lagi jika apa yang dikritik oleh ibu
mertua anda itu, di mata suami anda adalah baik.
6. Kasih dan Sayang
Kasihi keluarga mertua seperti anda menyayangi keluarga anda sendiri.
Anggaplah mereka sebahagian daripada darah daging sendiri supaya
hubungan akan bertambah mesra dan berkekalan hingga ke akhir
hayat.Walaupun jika ditakdirkan anda tiada jodoh dengan anak mereka,
pastikan anda sentiasa menghubungi sekadar\ bertanya khabar.
7. Jangan Cemburu
Sebagai isteri, janganlah sekali-kali anda berasa cemburu dengan
hubungan suami anda dan ibunya. Tanggungjawab suami yang utama adalah
kepada ibunya. Inilah ketetapan agama Islam yang perlu dipatuhinya.
Janganlah pertikaikan layanan suami pada ibu mertua anda. Jangan biar
suami perlu memilih antara anda dan ibunya. Anda patut berbangga
mempunyai suami yang mengutamakan ibunya berbanding anda kerana ternyata
anda dijodohkan dengan lelaki yang baik dan bertanggungjawab.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan