Bicara atau tutur kata suami isteri seharusnya mempunyai ramuan yang
bersifat kasih sayang dan penuh rasa hormat menghormati.. Tidak
dinafikan menghadirkan seni komunikasi yang sihat di antara kedua-dua
belah pihak akan mampu memupuk dan menyemai rasa cinta agar terus subur
dalam kerukunan, keharmonian dan kebahagiaan yang berpanjangan.
Walaupun komunikasi tidak hanya terhad kepada pertuturan atau aspek
komunikasi lisan sahaja tetapi ini ditekankan kerana salah faham paling
kerap berlaku akibat bicara yang kurang berkesan.
Menyedari komunikasi dalam rumah tangga adalah sangat penting, kerana
melalui proses komunikasi inilah dapat dibaca isi hati sebenar seseorang
itu. Oleh itu pelajari beberapa seni berbicara untuk dipraktiskan
bersama dalam menjalani kehidupan seharian sebagai suami isteri yang
bahagia.
1. Ungkapkan kata-kata yang santun dan ikhlas
Tentu sahaja jika skil berbicara yang lemah lembut dan santun yang
dituturkan antara kedua-dua belah pihak akan membuai rasa damai di dalam
jiwa sepanjang waktu. Jika pun ada pasangan melakukan kesalahan,
ditegur dengan penuh kelembutan dan bijaksana. Ternyata kuasa bicara nan
lembut ini tidak pernah mengecewakan untuk dipraktiskan dalam membentuk
perhubungan yang lebih baik buat pasangan suami isteri.
2. Sahut dengan panggilan manja
Panggilan ‘abang’ buat suami dan ‘ayang’ buat isteri kedengaran lebih
romantis berbanding mempraktiskan panggilan ‘awak’ kepada pasangan.
Kekalkan menggunakan panggilan manja tersebut walaupun dihadapan
anak-anak mahu pun di khalayak ramai. Tentu sahaja dengan panggilan
manja ini akan menghadirkan rasa begitu dihargai dan disayangi oleh
pasangan, umpamanya sebagai simbolik kepada luahan rasa cinta buat
pasangan.
3. Pilih masa dan situasi untuk berbicara
Seperkara lagi yang tidak kurang pentingnya adalah memilih masa yang
sesuai untuk memperkatakan sesuatu terutama sekali dalam memberikan
teguran dan kritikan. Setiap pasangan perlu memilih masa dan suasana
yang tepat terutama sekali dengan isteri atau suami kerana dengan cara
ini dapat dikurangkan kesan negatif teguran tersebut. Kadangkala sesuatu
teguran itu boleh diterima sekiranya dilakukan sesuai dengan
situasinya.
4. Jadi pendengar yang setia
Belajarlah untuk menjadi pendengar yang setia kepada pasangan anda.
Beri tumpuan tiap kali dia berbicara. Lihat anak matanya dan cuba fahami
secara ikhlas apa yang dipertuturkan. Ternyata, perhatian yang anda
berikan ini akan membuatkan hati si dia berasa begitu dihargai.
4 Perkara Yang Harus Dihindari Dalam Suami Isteri
1. Jangan membisu
Selalu mengambil langkah berdiam diri bukanlah satu perkara yang bijak.
Jika terjadi sesuatu masalah atau konflik, usah membisu dan mendiam
diri. Berterus teranglah dan jangan sesekali berfikir “lantak kau lah”,
“engkau engkau, aku aku”.
2. Jangan berleter
Tiada siapa pun suka untuk dileteri, baik suami mahu pun isteri. Jadi
cuba kawal emosi dan fahami pasangan. Jika ada kekurangan dalam rumah
tangga seharusnya cari punca penyelesaiannya, agar hidup berumah tangga
lebih harmoni.
3. Jangan mengugut
Jangan sesekali mengugut suami atau isteri. Jangan ungkapkan perkataan
“Derhaka!”, “Aku tak redha dengan apa yang aku beri”, “Berani kau balik
lewat, tidur luar!”. Ayat-ayat sebegini tidak harus dilafazkan di dalam
rumahtangga. Sebelum membuat ugutan, lihatlah pada diri sendiri. Adakah
diri itu telah sempurna menjadi seorang suami atau isteri yang terbaik?
4. Jangan menuduh
Jangan selalu menuduh pasangan tanpa usul periksa dan bukti yang kukuh.
Buangkan perasaan curiga. Percaya kepada pasangan kerana masing-masing
sudah pun mempunyai tanggungjawab yang berat selepas berkahwin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan