Kalau sebelum ini sangat sukar bagi Tiz
Zaqyah untuk berkongsi hal-hal peribadinya termasuklah hal percintaan,
pada umum. Malah Tiz pernah mengakui dia seorang yang sangat perahsia.
Namun beberapa minggu lalu pelakon cantik ini dilihat sudah mula berani
berkongsi privasinya apabila dia memuat naik beberapa gambar bersama
teman lelakinya yang dikenali sebagai Daniel Haziq.
Lantaran timbul dakwaan mengatakan Tiz
sengaja menayangkan kekasihnya gara-gara mahu membalas dendam terhadap
pelakon Remy Ishak, yang satu ketika dulu pernah mengisi ruang hatinya.
Dan sepertimana yang ramai sedia tahu, hubungan cinta Tiz dan Remy
terputus di tengah jalan sejak pertengahan tahun lalu.
Walau bagaimanapun Tiz berkata tidak
timbul soal mahu membalas dendam terhadap Remy. Sebaliknya mengakui dia
kini sudah lebih bersikap terbuka untuk berkongsi dengan umum mengenai
hal-hal peribadi.
"Sekarang ini tidak ada apa yang nak
disorokkan lagi. Saya sudah lebih selesa nak kongsi dengan peminat. Saya
tahu ada yang suka dan ada yang tak suka. Tapi saya hanya akan
berkongsi setakat apa yang boleh dan tidaklah sehingga ke
perkara-perkara yang terlalu peribadi.
"Balas dendam pada Remy? Tidak sama
sekali. Rasanya lebih elok kalau kita saling hormat. Lagipun antara saya
dan dia sudah tiada apa-apa lagi", katanya ketika ditemui di majlis
pratonton drama terbaru TV9, Cinta Jangan Pergi, bertempat di e@curve, Damansara, malam tadi.
Tambahnya, walaupun dia dan Remy sudah
tidak sebagai pasangan kekasih tetapi hubungan mereka masih baik. Malah
Tiz dan Remy masih boleh berkerjasama dan berlakon sebagai pasangan
bercinta dalam drama. Mereka berdua bakal muncul dalam drama bersiri Cinta Jangan Pergi mulai 6 April ini.
Dalam pada itu, diajak berbicara
mengenai teman lelakinya, Tiz memberitahu, jejaka tersebut bukanlah
kekasih lamanya seperti yang tertera di beberapa laman blog hiburan
tetapi merupakan kenalan sekolah menengah. Setelah beberapa tahun mereka
terputus hubungan, akhirnya mereka berjumpa semula sewaktu di sebuah
majlis pertemuan bersama rakan-rakan sekolah, kira-kira beberapa bulan
lalu.
Enggan mendedahkan lebih lanjut mengenai
jejaka tersebut, sungguhpun begitu Tiz berkata sikap sopan-santun dan
sabar yang dimiliki oleh Daniel Haziq telah membuka hatinya untuk
menerima pemuda itu.
"Kami sebaya. Dia seorang yang lemah-lembut, sabar dan tak suka marah-marah. Itu yang membuat saya selesa dengannya", kata Tiz
Tiada ulasan:
Catat Ulasan