Bibir merupakan salah satu daya tarikan kecantikan seseorang wanita. Pasti anda menginginkan senyuman yang menawan di saat jurugambar merakam detik-detik bahagia anda bersama pasangan. Perhatian ke atas penjagaan bibir perlu dititikberatkan. Kecantikan bibir akan menyerlahkan lagi kecantikan wajah anda. Bagaimana hendak menjaga bibir? Usah risau, berikut adalah petua penjagaan bibir anda:
 
1. Siang
Sapuan pelembap bibir di siang hari mampu melembapkan bibir yang kering dan merekah teruk. Olesan pelembap bibir ini akan melindungi bibir dari kesan cahaya matahari. Di antara bahan-bahan asas yang boleh digunakan bagi mencantikkan bibir adalah dengan sapuan madu asli sebanyak 3 kali sehari. Kesannya pasti mengejutkan anda. Senyuman pasti terukir di bibir anda sepanjang majlis persandinganmu. Cubalah sendiri!
 
2. Malam
Bibir akan menjadi segar dan sihat dengan menanggalkan segala kesan kotoran di bibir. Lapkan semua kesan gincu di bibirmu dengan tisu lembut dan gosok secara perlahan sehingga kesan tersebut hilang. Dengan cara ini, sel-sel kulit mati juga dapat ditanggalkan. Kemudian, sapulah pelembap bibir yang boleh merawat bibirmu semalaman. Kesannya akan dapat dilihat keesokannya. Bibirmu akan menjadi lembut dan kelihatan munggil sekali!
 
Di samping itu, penjagaan bibir juga ada pantang larangnya. Di antara pantang larang untuk mendapatkan bibir yang cantik adalah:
 
1. Elakkan penggunaan campuran jenis gincu
Bibir akan tampak cantik dan comel apabila dioles dengan sapuan gincu yang berwarna merah. Terdapat pelbagai jenis warna gincu di pasaran dan pelbagai jenama yang dijual dengan laris. Perlu diingat, campuran pelbagai jenis gincu yang berwarna dalam satu masa akan menyebabkan bibir akan menghasilkan garisan gelap di tepi bibir. Sebaiknya, kurangkan penggunaan gincu dan perbanyakkan sapuan pelembap bibir, terutama yang mengandungi vitamin E dan SPF15.
 
2. Elakkan menyentuh bibir dengan tangan yang kotor
Menyentuh bibir dengan tangan yang kotor akan menyebabkan penyebaran bakteria. Lapisan yang nipis di bibir sangat
mudah dijangkiti kuman sekiranya terdapat luka kecil atau sebgainya. Seeloknya, cucilah tangan dengan sabun anti-bakteria sebelum menyentuh bibirmu. Mencegah lebih baik daripada merawat. Sebelum bibirmu menjadi sakit disebabkan bakteria, lebih baik kamu menjaganya dengan rapi. Terutama di kala majlis resepsi perkahwinanmu hamper menjelang tiba.
 
Tip Bibir Cantik dan Sihat
• Memakan vitamin B dan C seperti buahan dan sayuran.
• Minum air putih dengan banyak.
• Hilangkan kesan kosmetik di bibir sebelum tidur.
• Mengoles bibir dengan sapuan madu sebelum tidur.
 
Info Penting!
• Penuaan bibir bermula seawal usia 25 tahun, di mana bibir akan kurang merah dan berkedut.
• Bibir amat sensitif pada cahaya matahari.
• Gincu menyebabkan bibir lebih mudah kering.
• Merokok menyebabkan bibir berkedut lebih cepat.