Cincin perkahwinan begitu simbolik dengan ikatan suami isteri. Tidak lengkap majlis perkahwinan tanpa acara menyarung cincin daripada pihak perempuan dan lelaki. Acapkali pencarian cincin perkahwinan seringkali lelaki dikaitkan dengan pemilihan cincin suasa.
Bagaimanapun pada masa kini, cincin untuk pengantin lelaki telah pun dipelbagaikan dengan adanya cincin perak, platinum dan titanium. Bagi masyarakat Melayu, cincin suasa telah menjadi pilihan di hati tatkala si gadis melewati deretan kedai barangan kemas untuk si jejaka idaman hati. Kepada bakal pengantin baru, di sini ada beberapa tip dalam pemilihan cincin bagi bakal suami anda.
 
Cincin pilihan bagi si jejaka:
 
Suasa
Suasa adalah hasil campuran tiga logam iaitu tembaga, perak dan emas. Nisbah emas adalah antara 22% hingga 37.5%. Cincin suasa begitu diminati ramai bagi masyarakat Melayu, tetapi pemilihan suasa perlulah betul mengenai kandungan emasnya yang dikhuatiri haram untuk memakainya bagi pengantin lelaki dalam masyarakat Melayu. Sabda Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi bermaksud;
 
“Rasulullah SAW melarang daripada memakai cincin emas. Cincin suasa adalah campuran daripada dua unsur logam iaitu emas dan perak.”
 
Info:Sekiranya campuran emas yang terkandung di dalam suasa adalah 22%, maka hukumnya adalah harus bagi lelaki untuk memakainya. Tetapi, perlu diingat bahawa campuran emas di dalam suasa yang melebihi had 1/3 iaitu sebanyak 34% adalah haram bagi lelaki. Oleh itu, berhati-hatilah ketika membeli cincin suasa kepada pasangan anda dan ketahuilah kandungan campuran emas dalam cincin suasa.
 
Perak
Perak atau sinonim dengan panggilan ‘silver’ di kalangan masyarakat masa kini mempunyai daya tarikan yang tinggi kepada pasangan muda mudi.
 
Info:Perak memiliki warna putih-keabuan juga sinonim dalam pembuatan cincin dan harganya juga jauh lebih murah berbanding suasa.
 
Platinum
Platinum atau dipanggil sebagai ‘platina’ adalah terdiri daripada unsur kimia. Ia merupakan logam yang berat, berharga, dan berwarna putih. Platinum memiliki kelebihan tersendiri berbanding emas.
 
Info:Platinum bukanlah emas putih di mana mempunyai warna putih natural, lebih berat dibandingkan emas biasa, lebih tahan lama, dan tahan karat.
 
Titanium
Titanium merupakan logam peralihan berwarna putih keperakan yang ringan, kuat, berkilau, dan tahan kakisan termasuk kepada air laut serta tidak akan bertindak balas terhadap bahan kimia yang paling umum. Cincin titanium semakin digemari oleh pasangan yang ingin berkahwin.
 
Tip Memilih Cincin:
1. Ketahui perbezaan bentuk cincin yang diingini dan pilihlah mengikut karakter diri.
2. Jangan terpengaruh dengan rekaan bentuk cincin. Ini kerana, berkemungkinan ianya tidak sesuai di jari anda. Jadi, cubalah kesemuanya.
3. Penggayaan cincin di jari adalah berbeza-beza. Sekiranya, jari anda halus dan kurus, elakkan daripada memakai cincin berbentuk besar.
4. Kaji selidik kandungan dan kesesuaian cincin untuk anda dan pasangan. Pilihlah warna dan bentuk yang sesuai mengikut warna kulit anda!
5. Bersabar dalam pemilihan cincin dan buatlah keputusan yang terbaik.
6. Rajinkan diri anda untuk meninjau di semua kedai emas dan permata yang berdekatan untuk idea cincin terkini dan sesuai buat pasangan anda.
7. Pilih beberapa bentuk cincin dan sarungkan satu persatu ke jari manis. Tidak salah mencuba beberapa bentuk cincin semata-mata untuk memenuhi cita rasa. Cuba dan terus mencuba.
8. Gunakan kemudahan cermin yang disediakan di kedai tersebut untuk meneliti cincin yang disarungkan di jari anda.
9. Elakkan memilih cincin yang terlalu ketat atau longgar. Sesuaikan saiz mengikut keselesaan anda.
10. Tidak salah bersabar semata-mata untuk mendapatkan cincin yang berkenan di hati!