Soal Jawab Bersama Pakar : Doktor Rohaya Ramli, Doktor Perubatan Keluarga & Pengarah Bakti Healthcare Sdn.Bhd
Setiap hari kita sering dihidangkan dengan pelbagai permasalahan
berkaitan hal-hal kesihatan dalaman. Tidak kira ia dilaporkan di media
cetak mahupun perbualan harian, masalah ini tidak harus dipandang remeh.
Ada sesetengah individu mengambil keputusan untuk berdiam diri dan
mencegahnya sendiri. Hal ini kadangkala boleh mengundang kepada
kemudaratan kesihatan. Usah biarkan ia mudarat, rujuklah kepada pakar
ataupun pihak yang lebih arif!
Soalan: Saya mengalami masalah di mana saya tidak
terangsang apabila suami memegang, mencium atau menggigit puting
payudara saya. Harap doktor dapat membantu.
Jawapan: Puan sedang mengalami masalah seksual wanita (Female
sexual dysfunction). Masalah ini mungkin timbul disebabkan masalah
fizikal seperti penyakit 'endocrine' (hormon) seperti 'Sheehan syndrome'
(hampir semua hormon badan menurun), pengambilan ubat-ubatan seperti
ubat 'anti dressant' (anti-kemurungan), pengambilan alkohol dan
diabetes. Ataupun ia berpunca dari segi mental/psikologikal seperti:
- Stres (kepenatan atau memikirkan sesuatu masalah).
- Masalah hubungan dengan suami (salah faham, marah, benci, takut).
- Sejarah trauma seksual di masa lampau.
- Membesar dalam keluarga yang sangat tegas tentang perkara-perkara yang berhubung dengan seks.
- Perasaan takut untuk mengandung atau takut dijangkiti kuman melalui hubungan seks.
- Perasaan negatif seperti rasa bersalah, marah, sedih dan lain-lain. Penyakit mental seperti kemurungan.
Soalan: Sejauh manakah benarnya dakwaan yang mengatakan
bahawa masalah senggugut yang dialami oleh wanita ketika haid akan
hilang sebaik sahaja dia berkahwin?
Jawapan :Ini hanyalah satu mitos. Senggugut adalah satu perkara
biasa yang berlaku pada hari pertama hingga hari ketiga kitaran haid.
Jika ia terlalu kuat dan berlaku sebelum, keseluruhan atau selepas darah
haid turun, mungkin ini disebabkan oleh penyakit Endometriosis.
Senggugut tidak akan berhenti apabila seseorang itu berkahwin. Jika
setiap kali haid, senggugut ini terlalu kuat atau lama, maka wanita
tersebut harus berjumpa pakar sakit puan untuk pemeriksaan lanjut.
Soalan:Apakah yang dimaksudkan dengan gaya hidup tidak
sihat dan bagaimana ia menyumbang kepada terjadinya permasalahan mati
pucuk?
Jawapan : Gaya hidup tidak sihat termasuklah merokok,
mengambil alkohol, pengambilan dadah merbahaya, tidak bersenam dan makan
makanan yang tidak seimbang dan masalah obesiti. Juga tidak tahu
mengendalikan stres dalam hidup. Semua ini boleh menyumbang kepada
masalah mati pucuk.
Soalan: Saya pernah terlanjur dengan bekas kekasih saya.
Beberapa bulan lagi saya akan berkahwin dan saya amat risau jika si dia
tahu yang saya sudah tidak ada dara lagi. Saya takut untuk berterus
terang dengannya. Bagaimanakah caranya untuk saya menunjukkan kesucian
saya kepadanya?
Jawapan: Pendarahan biasanya berlaku apabila seorang wanita
melakukan hubungan seksual pada pertama kalinya. Tetapi ini bukanlah
seratus peratus. Jika anda tidak berterus terang tentang kesucian anda
dengan bakal suami dan beliau mengesyakinya selepas malam pertama,
banyak masalah akan timbul. Adalah lebih baik untuk berterus terang,
jika bakal suami benar-benar mencintai anda, beliau akan memaafkan dan
menerima anda sebagai bakal isterinya.
Soalan: Sejak mendirikan rumahtangga dua bulan lalu, saya
mengalami masalah kerap membuang air kecil selepas berhubungan intim
dengan suami. Adakah saya mengalami masalah lemah pundi kencing?
Jawapan: Anda berkemungkinan besar mengalami jangkitan kuman
pada pundi atau saluran kencing, bukan masalah lemah pundi kencing.
Perkara ini selalu terjadi pada pasangan yang baru berkahwin dan ia
dikenali sebagai “honeymoon cystitis”. Silalah berjumpa doktor untuk
pemeriksaan air kencing. Ia boleh dirawat dengan pengambilan antibiotik.
Soalan: Apakah kesan pengambilan ubat untuk menguatkan tenaga batin terhadap lelaki?
Jawapan: Pertama sekali punca lemah tenaga batin harus diketahui
dahulu melalui pemeriksaan fizikal dan darah oleh doktor. Jika ia
berpunca dari penyakit seperti diabetes, darah tinggi dan tinggi
kolesterol darah, maka masalah ini harus ditangani dahulu dan dikawal
sepenuhnya. Jika tidak, ubat-ubat penguat tenaga batin tidak akan
berfungsi. Jika lemah tenaga batin disebabkan oleh masalah psikologi dan
bukan fizikal, rundingan dengan pakar psikiatri dan rawatan-rawatan
tertentu boleh membantu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan