Isnin, 14 November 2011

Vikingdom epik ciptaan Yusry


FILEM Vikingdom terbitan KRU Studios menampilkan barisan pelakon antarabangsa dan muka-muka baharu.


SETELAH tampil dengan filem epik Hikayat Merong Mahawangsa (The Malay Chronicles) pada bulan Mac lalu, kali ini KRU Studios bakal tampil dengan sebuah lagi filem epik berjudul Vikingdom.
Merupakan filem epik kedua yang diarahkan oleh Yusry Abdul Halim, Vikingdom adalah sebuah filem yang sepenuhnya menggunakan bahasa Inggeris dan 100 peratus lokasi penggambarannya dilakukan di Malaysia.
Pada satu sidang akhbar yang berlangsung baru-baru ini, Yusry selaku pengarah memberitahu projek untuk menghasilkan filem berkenaan sudah bermula sejak tahun 2008 dan sekarang baru ia dapat direalisasikan.
“Vikingdom adalah filem epik yang terinspirasi daripada kisah mitos tentang masyarakat Viking yang cukup terkenal pada suatu masa dahulu dan kami ketengahkan ia untuk menjadi sebuah filem dengan jalan cerita yang menarik.
“Berbanding Hikayat Merong Mahawangsa yang berdasarkan kepada kisah sejarah Melayu, boleh dikatakan konsep filem Vikingdom ini agak berbeza dan saya anggap ia lebih sukar dan mencabar,” jelasnya.
Sudah mula menjalani penggambaran pada 15 Oktober lalu, Vikingdom mengisahkan seorang pahlawan Viking bernama Eirick yang terpaksa berhadapan dengan masa lampau yang kelam dan mengatasi kuasa jahat yang bermaharajalela.
Yusry berharap agar penonton tidak terlalu membandingkan Vikingdom dengan filem-filem epik hebat yang telah dihasilkan di Hollywood seperti filem 300 atau The Lord of the Rings.
“Bagi saya, untuk menghasilkan Vikingdom adalah satu cabaran yang cukup besar, namun saya yakin kekuatan filem ini adalah terletak pada jalan ceritanya selain kesan-kesan khas yang akan dipaparkan,” jelasnya.
Apa yang lebih menarik tentang filem berkenaan ialah pihak KRU Studios telah menggunakan khidmat pelakon-pelakon popular yang sememangnya agak terkenal di peringkat antarabangsa.
Antara pelakon-pelakon utama yang membintangi filem arahan Yusry itu ialah Dominic Purcell yang memegang watak sebagai Eirick serta Jon Foo (Yang), Natassia Malthe (Brynna), Conan Stevens (Thor) dan Craig Fairbrass (Sven).
Mengenai pemilihan pelakon, Yusry menjelaskan, tiada pembabitan pelakon-pelakon popular tempatan dalam memegang watak utama filem berkenaan.
“Bukan saya tidak mahu mengambil pelakon tempatan, tetapi rasanya untuk filem ini lebih sesuai rasanya kalau kami mengambil pelakon dari luar negara memandangkan ia adalah sebuah kisah tentang masyarakat Viking,” jelasnya.
Dengan penerbitan sebuah lagi filem bajet besar selepas Hikayat Merong Mahawangsa, Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios, Norman Abdul Halim melihat ia adalah sebagai langkah permulaan untuk syarikat tempatan melangkah lebih jauh lagi.
Jelas Norman, pihaknya memang menyasarkan filem terbaharu yang dihasilkan itu memasuki pasaran antarabangsa dengan merancang untuk mengeksportnya ke beberapa buah negara seperti Perancis, Jerman, China dan Amerika Syarikat serta beberapa buah negara Timur Tengah.
“Sebelum ini, apabila kami mula-mula menghasilkan filem Cicakman, ramai yang tidak yakin dengan kemampuan kami. Namun, akhirnya ia tetap berjaya mencapai kejayaan yang baik dan diterima oleh peminat.
“Pada masa yang sama, kami tidak melupakan jasa pihak-pihak seperti Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) yang telah menyokong usaha kami selama ini,” jelasnya.

DOMINIC dan Natassia diharap mampu memberi persembahan cemerlang dalam filem epik ini.


Pelakon popular
Memandangkan pihak KRU Studios memang serius untuk memasarkan Vikingdom ke peringkat antarabangsa, maka pelakon yang dipilih beraksi dalam filem berkenaan merupakan pelakon yang cukup popular dan dikenali ramai.
Misalnya, Dominic Purcell cukup terkenal dengan drama bersiri Prison Break, manakala Jon Foo pula pernah memegang watak utama sebagai Jin Kazama dalam filem Tekken pada tahun lalu.
Begitu juga dengan Conan Stevens yang turut terbabit dalam filem The Hobbit arahan Peter Jackson, serta Natassia Malthe dan Craig Fairbrass yang sudah berlakon banyak filem di Hollywood.
Dominic yang memegang watak utama sebagai Eirick berkata, dia bersetuju untuk bekerjasama dengan Yusry untuk filem berkenaan disebabkan tertarik dengan jalan cerita yang dipaparkan.
“Apabila saya membaca skrip filem ini, ia mengingatkan saya kepada filem epik terkenal seperti Highlander dan Conan yang mengangkat sebuah kisah seorang individu yang diangkat untuk menjadi hero dalam sebuah masyarakat.
“Lebih menarik lagi, saya juga sangat kagum dengan paparan set penggambaran yang seolah-olah tidak jauh bezanya dengan filem epik Hollywood dan saya melihat Yusry sebagai seorang pengarah muda yang cukup berbakat,” jelasnya.
Sudah pun memulakan penggambaran pada 15 Oktober lalu, Vikingdom dijangka siap sepenuhnya pada 1 Disember ini dengan penggambaran diadakan di beberapa buah lokasi seperti Gua Tempurung dan Kellie Castle di Perak serta Puncak Alam, Selangor.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan