Jumaat, 11 November 2011

UBAH SIKAP KERJA BERPASUKAN



Di dalam satu kajian para sosiologi, kerja secara berpasukan memberikan lebih banyak kelebihan berbanding bekerja secara solo. Perkembangan semasa kini lebih banyak menyokong usaha sesebuah organisasi untuk bergerak secara berkumpulan. Namun, beberapa faktor perlu dipertimbangkan sebagai persediaan untuk anda melaksanakan kerja secara berkumpulan.


Perjelas matlamat
Sebagai pengurus, anda perlu memaklumkan kepada pasukan mengenai tugasan masingmasing. Perjelaskan projek atau urusan apa yang akan diusahakan. Pastikan setiap ahli pasukan diberikan informasi terperinci mengenai setiap hal.

Kenal pasti keadaan
Setiap ahli pasukan perlu tahu dan faham apa yang perlu dilakukan. Setiap perancangan strategi perlu sampai ke pengetahuan setiap ahli pasukan supaya ianya boleh dilaksanakan tanpa keraguan dan masalah. Ahli pasukan juga bertanggungjawab untuk mengenalpasti dan memahami setiap arahan diberikan.


Komitmen
Bekerja di dalam pasukan memerlukan lebih komitmen berbanding bergerak secara solo. Kata sepakat yang dimetrai keduadua pihak iaitu pengurusan dan pekerja perlu diiktiraf. Jadual untuk melaksanakan tugasan perlu diberikan satu per satu agar ahli kumpulan tahu dan faham mengenai kepentingan sesuatu tugasan itu. Di dalam setiap perjumpaan bersama ahli pasukan, pastikan tidak ada di antara ahli pasukan yang tidak hadir kerana setiap perbincangan diadakan penting untuk memastikan tugasan dilaksanakan dengan lancar.

Kesanggupan
Setiap ahli pasukan juga perlu megenali di antara satu sama lain. Bukan hanya dari segi fizikal tetapi mengetahui sama ada mereka mempunyai kesanggupan untuk bekerja secara berkumpulan. Kerjasama di antara ahli pasukan penting untuk merealisasikan hasilnya. Bina pertanyaan sesama anda, adakah ahli pasukan anda mempunyai kebolehan, skil dan keupayaan untuk memberikan hasil yang diinginkan?

Kawalan
Setiap pekerjaan memerlukan kawal selia yang betul. Di dalam kerja berpasukan, kawalan terhadap disiplin kerja sangat penting supaya tugasan diberi mudah diselesaikan. Sebagai pengurus, anda perlu mengawal setiap pergerakkan dan perkembangan tugasan.

Komunikasi
Perbincangan sesama ahli pasukan amat penting untuk menentukan arah tuju tugasan anda. Sama ada berkomunikasi secara percakapan, e-mel, khidmat pesanan ringkas atau sms dan lain-lain kaedah komunikasi boleh dijadikan perantara untuk memudahkan anda menyelesaikan tugasan. Di dalam konteks kerja secara berpasukan, anda perlu sering mengadakan perbincangan. Jika ada di antara ahli pasukan tidak hadir, maklumkan kepadanya hasil perbincangan anda.

Kesedaran
Adakah setiap ahli pasukan menyedari tanggungjawab dalam kerja berpasukan? Sekiranya ada di antara ahli pasukan mula leka, sudah menjadi tanggungjawab ketua untuk mengembalikan disiplin ahli pasukan.

Bekerja keras
Dalam apa juga keadaan, anda perlu member 110 peratus komitmen bagi merealisasikan tugasan diberikan. Sentiasa berikan lebih dari apa yang diminta. Jika setiap ahli pasukan memberi lebih banyak komitmen dari yang diperlukan, pasti hasilnya juga lebih memberangsangkan.

‘Ada’kan diri anda
Bawa setiap ahli pasukan bersama dalam setiap aktiviti berkumpulan. Elakkan pilih kasih kerana dalam melaksanakan kerja berpasukan, perasaan setiap ahli perlu dijaga supaya kualiti kerja terjamin.

Ambil giliran
Jangan menjadi ketua setiap masa dan jangan menjadi pengikut setiap masa. Elakkan menjadi seseorang yang banyak cakap. Jadilah pendengar yang baik. Ambil kira setiap pendapat rakan sepasukan dan jika relevan, gunakan pendapat itu. Jangan pula hanya mendengar sahaja, anda juga perlu memberikan pendapat.

Jadi orang baik
Elakkan kritikan peribadi. Pastikan anda mendengar dengan teliti dan memahami apa yang diperkatakan orang lain sebelum anda memberi komen mengenai pendapat mereka.

Tepati masa
Hadirkan diri anda dalam setiap mesyuarat tepat pada masanya, setiap masa. Tepati setiap deadline. Jika anda lewat, anda hanya membazirkan masa orang lain dan boleh menimbulkan kemarahan. Sikap begini boleh mengganggu kerja berpasukan. Kerja berpasukan bukan hanya melibatkan anda, tetapi seluruh ahli kumpulan.

Fokus
Sentiasa fokus pada tugasan anda. Setiap kali dalam perbincangan, jangan campur adukkan dengan perkara lain. Pastikan setiap kali menghadiri perbincangan, peratusan perkembangan tugasan dibentangkan. Pastikan anda mencapai kehendak kerja.

Buat peningkatan
Selain meningkatkan taraf kerja, pertingkatkan juga mood ahli pasukan. Sentiasa positif dalam setiap perbuatan dan perkataan. Sentiasa menghargai ahli pasukan. Sesekali memuji rakan setugas apa salahnya. Sematkan di dalam diri masing-masing untuk memberi semangat kepada ahli pasukan.

Cari penyelesaian
Jika timbul masalah di dalam pasukan, jangan terburu-buru menuding jari. Mulakan dengan pertanyaan ringkas mengenai apa yang berlaku. Tanyakan juga sama ada anda boleh membantu menyelesaikan masalah itu. Komunikasi secara bersemuka lebih baik dari menggunakan e-mel atau khidmat pesanan ringkas atau sms. Cuba memahami pendapat orang lain sewaktu berbincang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan