Ahad, 10 Mac 2013

Tiz Zaqyah tayang kekasih

Tiz Zaqyah & Kekasih
Kalau sebelum ini sangat sukar bagi Tiz Zaqyah untuk berkongsi hal-hal peribadinya termasuklah hal percintaan, pada umum. Malah Tiz pernah mengakui dia seorang yang sangat perahsia. Namun beberapa minggu lalu pelakon cantik ini dilihat sudah mula berani berkongsi privasinya apabila dia memuat naik beberapa gambar bersama teman lelakinya yang dikenali sebagai Daniel Haziq.
Lantaran timbul dakwaan mengatakan Tiz sengaja menayangkan kekasihnya gara-gara mahu membalas dendam terhadap pelakon Remy Ishak, yang satu ketika dulu pernah mengisi ruang hatinya. Dan sepertimana yang ramai sedia tahu, hubungan cinta Tiz dan Remy terputus di tengah jalan sejak pertengahan tahun lalu.
Walau bagaimanapun Tiz berkata tidak timbul soal mahu membalas dendam terhadap Remy. Sebaliknya mengakui dia kini sudah lebih bersikap terbuka untuk berkongsi dengan umum mengenai hal-hal peribadi.
"Sekarang ini tidak ada apa yang nak disorokkan lagi. Saya sudah lebih selesa nak kongsi dengan peminat. Saya tahu ada yang suka dan ada yang tak suka. Tapi saya hanya akan berkongsi setakat apa yang boleh dan tidaklah sehingga ke perkara-perkara yang terlalu peribadi.
"Balas dendam pada Remy? Tidak sama sekali. Rasanya lebih elok kalau kita saling hormat. Lagipun antara saya dan dia sudah tiada apa-apa lagi", katanya ketika ditemui di majlis pratonton drama terbaru TV9, Cinta Jangan Pergi, bertempat di e@curve, Damansara, malam tadi.
Tambahnya, walaupun dia dan Remy sudah tidak sebagai pasangan kekasih tetapi hubungan mereka masih baik. Malah Tiz dan Remy masih boleh berkerjasama dan berlakon sebagai pasangan bercinta dalam drama. Mereka berdua bakal muncul dalam drama bersiri Cinta Jangan Pergi mulai 6 April ini.
Dalam pada itu, diajak berbicara mengenai teman lelakinya, Tiz memberitahu, jejaka tersebut bukanlah kekasih lamanya seperti yang tertera di beberapa laman blog hiburan tetapi merupakan kenalan sekolah menengah. Setelah beberapa tahun mereka terputus hubungan, akhirnya mereka berjumpa semula sewaktu di sebuah majlis pertemuan bersama rakan-rakan sekolah, kira-kira beberapa bulan lalu.
Enggan mendedahkan lebih lanjut mengenai jejaka tersebut, sungguhpun begitu Tiz berkata sikap sopan-santun dan sabar yang dimiliki oleh Daniel Haziq telah membuka hatinya untuk menerima pemuda itu.
"Kami sebaya. Dia seorang yang lemah-lembut, sabar dan tak suka marah-marah. Itu yang membuat saya selesa dengannya", kata Tiz

Tiada ulasan:

Catat Ulasan