Panik ! Itulah tekanan yang dialami kebanyakan pengantin perempuan apabila mula menghitung hari untuk bergelar isteri. Masakan tidak , pelbagai perkara perlu difikirkan supaya detik terindah itu berlangsung sebagaimana diimpikan. Namun , kecantikan fizikal usah dilupakan , ya ! Itulah aspek yang paling utama yang perlu dititik-beratkan sebelum bergelar ist eri.
Rambut merupakan mahkota dan perhiasan wanita. Kecantikan rambut itu sebenarnya mencerminkan keperibadian seseorang itu. Anda pasti mahu kelihatan yakin dan bersemangat menjelang hari bahagia, bukan? Jadi, ikuti panduan yang disarankan supaya hari anda tercatat dalam memori indah saat bergelar isteri.
Tip 1
Jangan terlalu drastik untuk mewarnakan rambut atau cuba memotong rambut pada minggu-minggu terakhir bergelar bujang. Keputusan yang anda lakukan itu sebenarnya mencerminkan anda terlalu gementar dan pada masa yang sama gembira menantikan hari disatukan bersama bakal suami. Sekiranya tersilap langkah dan tidak kena gaya, agak susah untuk membetulkan kembali gaya rambut seperti yang diingini.
Tip 2
Sentiasa merancang awal. Pada hari anda sudah memilih baju kahwin adalah waktu terbaik untuk mula merancang mengenai fesyen rambut yang anda mahukan. Tetapi pastikan fesyen rambut tersebut itu bersesuaian juga dengan konsep majlis perkahwinan anda. Ambil masa membelek majalah atau melayari internet untuk mendapatkan fesyen rambut yang terkini.
Tip 3
Minum air yang banyak dan ambil suplemen tambahan seperti vitamin. Dalam tempoh enam hingga lapan minggu anda akan melihat perubahan yang menawan pada rambut anda. Juga bonus terhadap kecantikan diri pada anggota tubuh yang lain. Air membantu mencuci toksin yang terhasil akibat tekanan. Ambil sekurang-kurangnya 8 gelas air sehari. Paling penting, tambahkan pengambilan zink, vitamin A dan vitamin B dalam pemakanan anda seharian. Sumber zat dan vitamin ini sangat membantu kepada pembentukan semula rambut anda yang telah rosak.
Tip 4
Jangan mencuci rambut terlalu kerap. Kebanyakan syampu mengandungi kandungan kimia yang boleh menyebabkan rambut kering dan rosak. Carilah syampu yang mengandungi bahan-bahan semulajadi agar rambut kembali sihat dan bersinar.
Ada baiknya sekiranya anda membuat rawatan rambut di salun kecantikan mahupun di rumah. Dengan hanya mengurut menggunakan produk rawatan, anda mampu mengembalikan kesegaran kekuatan dan akar rambut.
Tip 5
Ingat ya! Anda semestinya mahu kelihatan berseri dan bermaya di majlis bahagia itu. Bersedia untuk menerima puji-pujian dari teman-teman dan saudara-mara yang anda memiliki rambut yang sihat dan menawan!