Gubahan : Maya Puri Creations & Eliza Elies
Adat Melayu menjunjung tinggi warisan seni zaman berzaman, biarpun diinovasi dengan idae baru dan ilham terkini, sirih junjung tetap menjadi kepala hantaran yang tidak dilupakan. Sama ada digubah tinggi atau pun diletakkan dalam bakul indah, semuanya menonjolkan kreativiti yang tersendiri.
Dalam menggubah sirih junjung untuk hantaran, selain bahan asas, iaitu sirih junjung, bahan-bahan lain juga perlu ada dalam melengkapi gubahan tersebut. Antara bahan lain yang diperlukan seperti gambir, pinang, dan kapur. Jika dahulu, bahan bahan ini hanya diletakkan di atas daun sirih mahupun di dalam bekas perak, kini terdapat pelbagai cara yang digunakan agar gubahan tersebut lebih cantik.
Pada waktu ini, kapur, gambir, dan pinang, sering dibentuk menjadi hiasan bunga yang indah. Ia diselitkan di antara daun sirih bersama dengan bunga cengkih, daun perak, manic dan sebagainya. Ada juga yang menggubahnya menjadi bentuk jambangan bunga.
Walau bagaimanapun idea yang digunakan itu nampak bersesuaian dengan arus pemodenan sekarang, namun ciri-ciri tradisional masih diterapkan lagi agar tidak ditelan zaman.
Info
  1. Mengikut adat negeri Perak, tepak sirih perlulah diisikan dengan sirih, gambir, kapur, pinang, dan gula. Manakala bahagian bawah tepak sirih hendaklah diletakkan beras yang berisi duit. Ini sebagai tanda agar pengantin baru boleh menggunakan duit yang diletakkan itu untuk membeli garam atau bahan keperluan memasak.
  2. Sirih yang diletakkan di atasnya perlu disusun kepada tiga helai. Ia bertujuan untuk diberikan kepada anak dara yang lambat jodoh.
  3. Urat daun sirih yang disusun perlulah bertemu agar jodoh pasangan pengantin berpanjangan.
  4. Pastikan setiap daun sirih yang diletakkan itu tidak koyak atau rosak. Sesetengah orang beranggapan jika pihak rombongan memberikan daun sirih yang tidak elok, ia menandakan anak gadis yang dipinang itu sudah tiada dara.
  5. Begitu juga apabila sirih disusun dengan cara terbalik, ia turut memberi makna yang tidak elok.