Khamis, 7 Mac 2013

7 Faktor Perceraian...

7 Faktor Penceraian...
7 Faktor Penceraian...
Mahligai yang dibina atas dasar cinta pastinya mempunyai impian yang ingin dilaksanakan. Berjanji sehidup semati, mengharungi dugaan bersama. Alam perkahwinan terlalu banyak perbezaan dengan alam percintaan. Ketika pasangan dilamun cinta, semuanya indah. Umpama dunia ini hanya milik berdua.
Jodoh dan ajal pertemuan ditentukan oleh yang Maha Esa. Kita hanya merancang Dia lebih mengetahui segalanya. Persefahaman serta perbincangan amatlah penting antara pasangan suami isteri. Walaupun perkara kecil yang dianggap perkara remeh. Berpunca daripada sedikit lama-lama jadi bukit. Akhirnya pelbagai masalah yang akan memberi kesan kepada rumahtangga yang dibina.
Masalah yang timbul boleh diselesaikan jika pasangan menitik beratkan setiap isu yang menjadi punca persengketaan. Persiapkan diri dalam apa jua rintangan sebagai pasangan suami isteri. Jadikan punca permasalahan ini sebagai rujukan agar anda tahu bagaimana cara boleh mengelakkan ia daripada berlaku.
1. Kegagalan Memikul Tanggungjawab
Sama ada suami atau isteri, masing-masing mempunyai tanggungjawab bersama dan perlukan persefahaman. Jangan mempertikaikan tanggungjawab pasangan kerana setiap manusia mempunyai kekurangan diri masing-masing. Eloklah memperbaik diri dan memandang ke arah lebih positif. Namun tidak salah mengambil kira nilai negatif agar ada perubahan yang lebih baik.
2. Asas Agama Yang Rendah
Salah satunya ialah tahap kesabaran dan iman yang kuat. Pasangan perlu mempunyai pegangan agama yang tinggi. Hal ini berlaku kerana asas agama yang rendah boleh mempengaruhi keputusan yang dibuat. Ia sekaligus dapat dipengaruhi oleh hasutan yang bakal meruntuhkan rumahtangga.
3. Campur Tangan Pihak Ketiga
Masalah akan menjadi bertambah rumit jika ada campur tangan daripada pihak ketiga. Tidak kiralah daripada sebelah pihak lelaki atau perempuan. Di sini suami perlu bijak mempertahankan hak rumahtangga agar tiada sesiapa berani mengeruhkan lagi keadaan.
4. Perbezaan Budaya
Ini terjadi kepada pasangan yang berbeza budaya dan agama. Pasangan sukar menerima perubahan yang mendadak terhadap rutin harian ke atas dirinya. Ia sedikit sebanyak akan memberi tekanan kepada individu yang mengalaminya. Tambahan pula kurang sokongan mental daripada pasangan.
5. Masalah Seksual
Mempunyai masalah terhadap hubungan intim antara suami dan isteri. Gangguan persekitaran atau ada masalah kesihatan yang boleh mengganggu keinginan untuk bersama pasangan. Pasangan perlu bersikap terbuka dalam membincangkan masalah seksual yang dialami. Sekali-sekala luangkan masa dan jauhkan daripada sebarang gangguan untuk menikmati masa bersama yang berkualiti.
6. Kewangan
Sumber kewangan yang kukuh boleh mempengaruhi kesejahteraan hidup berumahtangga. Menghadapi masalah kewangan juga boleh menjadi punca penceraian kerana pasangan tidak mampu menanggung perbelanjaan keluarga. Ini biasanya dialami oleh suami yang tidak dapat menyediakan segala keperluan serta perbelanjaan yang secukupnya. Kemungkinan berlaku jika suami tidak bekerja atau berpendapatan kurang daripada isteri.
7. Kerjaya
Perbezaan bidang kerja antara suami dan isteri dapat menjarakkan hubungan. Kesibukan dengan tugas masing-masing membataskan kemesraan antara pasangan. Kemungkinan juga suami tidak memahami bidang tugasan si isteri begitu juga sebaliknya. Pertikaian sering berlaku kerana rasa tidak puas hati dengan pasangan masing-masing.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan