Khamis, 27 Oktober 2011

Lena melepaskan geramnya 'saya muak, geram '

BARU setahun berkecimpung di persada hiburan tempatan, nama naib juara Akademi Fantasia musim kesembilan (AF9), Lena sudahpun terpalit de�ngan gosip liar yang sedikit sebanyak mencalar nama baiknya.
Semuanya gara-gara hubungan rapatnya dengan rakan seperjuangan dalam program realiti TV popular itu, Azri. Keakraban mereka menyebabkan ada pihak yang menyebarkan fitnah, Lena dan Azri dikatakan berkelakuan tidak senonoh seperti disebarkan di Internet, ketika ini.

Secara peribadi, pemilik nama sebenar, Lenaber Haidir, 21, sendiri berasa kesal dengan gosip tidak berasas disebarkan pihak tidak bertanggungjawab itu.

“Saya berharap gosip negatif saya dan Azri itu dihentikan dengan segera. Terus terang, cerita itu tidak betul dan tidak perlu diperbesarkan lagi. Hubungan saya dan Azri hanya sekadar rakan artis dan kami memang tiada hubu�ngan istimewa atau soal berkaitan dengan hati dan perasaan.


“Mungkin orang nampak kami rapat dan selalu ke mana-mana berdua kerana kami sering terbabit dalam projek bersama sejak dalam AF9 lagi. Hakikatnya, saya berkawan baik dengan semua rakan dalam AF9 sama seperti Azri,” katanya.

Bagaimanapun, kata Lena, gosip liar itu tidak sedikitpun menjejaskan hubungan baiknya dengan Azri sama seperti dulu.

“Saya sudah beritahu Azri supaya jangan peduli dengan cakap-cakap orang kerana semua gosip yang disebarkan itu tidak betul. Kenapa kami perlu takut jika cerita itu tak betul? Kami juga akan terus bekerjasama dalam bidang seni seperti dulu.

“Tidak perlu saya menjarakkan diri daripada Azri kerana saya tahu dia tidak bersalah dalam hal ini. Saya harap, orang tidak akan bertanya lagi mengenai gosip ini selepas penjelasan diberikan ini,” katanya.

Tegas Lena lagi, gosip liar itu tidak sedikitpun mematahkan semangatnya untuk terus memartabatkan dunia muzik dicintainya itu.

“Bukannya, saya takut dengan gosip yang datang kerana saya sudahpun terbabit dalam dunia glamor ini. Apa yang penting, saya perlu menjaga hati keluarga kerana mereka tidak pernah dengar cerita saya bercinta dengan mana-mana lelaki pun sebelum ini.

“Sudah pasti, gosip saya dan Azri itu mengejutkan keluarga yang tidak tahu mengenai dunia glamor ini. Tapi, saya bersyukur kerana ibu bapa saya tidak cepat melatah kerana mereka sudah memahami gosip adalah asam garam dalam dunia seni,” katanya.

Apapun, kata Lena, dia memang mengelak daripada dikaitkan dengan sebarang publisiti murahan kerana lebih berminat jika orang bercakap mengenai karier seninya.

“Saya sudah naik muak dan geram dengan gosip saya dan Azri itu. Justeru, kalau ada pihak media yang ingin menemu bual, saya akan minta mereka beri publisiti pada karier seni dan bukan gosip.

“Saya perlu kuat dari aspek mental dan fizikal kerana menjadi anak seni tidak akan terlepas daripada gosip liar. Itulah nasihat yang diberikan ibu bapa ketika saya mula-mula melangkahkan kaki dalam dunia seni dulu,” katanya.

Ditanya sama ada gosip liar itu menyebabkannya serik untuk menjadi penyanyi, Lena mengakui reda dengan apa yang berlaku itu.

“Mungkin orang tidak tahu, saya pernah berdepan dengan ujian yang lebih besar sebelum ini. Saya sudah menjaga ibu yang sakit kerana jatuh dan patah tulang belakang serta lima adik yang masih kecil sejak berusia 10 tahun lagi.

“Pada masa sama, bapa pula menghidap sakit jantung. Bayangkan, sayalah yang menjaga keluarga di rumah sambil mencari peluang menyanyi ketika itu dan saya berjaya mengharungi semua itu. Saya percaya, setiap ujian yang datang dalam hidup kita ada hikmah di sebaliknya,” katanya.

Mengulas bakat seni yang ada padanya, penyanyi berbakat besar yang cukup mengagumi Britney Spears, Inul Darastita dan Ziana Zain ini turut mewarisi bakat menyanyi daripada bapanya.

“Saya mula menyanyi pada usia 5 hingga 6 tahun dan sering memenangi tempat pertama dan kedua dalam pelbagai pertandingan nyanyian sejak kecil.

“Keluargalah yang mula nampak bakat saya dalam bidang nyanyian dan memberi sokongan padu dari belakang. Bapa saya memang ada bakat menyanyi lagu pop tapi dia hanya menyanyi untuk majlis keluarga saja.

“Bapa saya juga berkawan rapat dengan penyanyi, penari dan model dari Manila, Filipina, Anaberli. Malah, dia juga menamakan nama saya Lenaber sempena nama kawan baiknya itu. Saya juga mewarisi warna kulit Anaberli dan sifat lincahnya,” katanya.

Berkongsi perkembangan karier seninya, Lena sibuk dengan pembikinan single keduanya dengan AESB. Single itu berjudul Emosi vs Emosi ciptaan komposer Edrie Hashim. Sebelum ini, Lena mempertaruhkan single pertamanya berjudul Sisa Kisah Kita.

“Selain sibuk dengan proses rakaman single kedua ini, saya juga sibuk memenuhi pelbagai undangan persembahan termasuk di kampung halaman di Sabah. InsyaAllah, saya juga merancang untuk muncul dengan album penuh bila tiba masanya nanti,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Lena juga mengakui dia tidak pernah berasa malu untuk berniaga di pasar malam di Ampang dan sekitar Kuala Lumpur walaupun sudah bergelar artis.

“Saya tidak berasa malu berniaga di pasar malam kerana mencari rezeki yang halal untuk menyara keluarga. Saya juga menjual beg duit, tali pinggang dan minyak wangi dengan dibantu keluarga. Jika ada rezeki, saya bercadang untuk mengembangkan lagi bisnes kecil-kecilan ini pada masa depan,” katanya.









Tiada ulasan:

Catat Ulasan