Tentu kita mahukan ikatan perkahwinan akan berkekalan supaya penuh dengan kasih sayang dan sentiasa bahagia bukan sahaja dalaman malahan luaran.  Tetapi ikatan itu perlu dibaja bukan sahaja dari pihak sang suami malahan isteri juga perlu memainkan peranan yang penting dalam sesuatu perhubungan.  Zaman ini setiap pasangan yang akan berkahwin kedua-duanya perlu bekerja deim menampung kos sara hidup yang semakin meningkat kini dan juga dari segi pendidikan yang rata-ratanya berjaya sehingga ke peringkat universiti.
Demi masa sesungguhnya manusia kerugian jika tidak digunakan sebaik mungkin bersama-sama pasangan anda sebelum atau selepas waktu kerja.  Praktiskan perkara-perkara ini selepas perkahwinan nescaya hubungan anda akan sentiasa sempurna dan yang paling penting lakukan setiap hari tanpa ada sedikit pun perasaan bosan.
1. Sebelum ke tempat kerja atau berpisah atas sebab-sebab lain, ciumlah tangan suami anda dengan penuh kasih sayang dan kucup dahi isteri anda seperti mana pada hari anda menikahinya.  Tidak kira samaada dalam bekerja didalam satu pejabat atau satu bangunan praktiskan cara ini untuk menunjukkan yang anda sayang pada si dia sepenuh jiwa dan raga.
2. Jika berpisah kerana tuntutan kerja seperti bekerja diluar daerah atau ke luar negara, tambah rutin itu dengan pelukan dan ciuman di bibir pasangan.  Peluk dengan erat seperti anda tidak mahu melepaskannya tapi pastikan jangan terlalu lama.  Katakan yang anda sayang padanya dan minta dia menjaga diri dengan baik serta makan pada masanya.
3. Walau sesibuk mana tugas seharian anda, luangkan masa untuk menelefon pasangan anda sekurang-kurangnya sekali hanya untuk bertanya apa yang sedang dia lakukan, sudah makan atau belum.  Selain itu sentiasa hantarkan pesanan ringkas seperti SMS sama seperti waktu anda bercinta dulu.  Cukup dengan perkataan “i love you” dapat membuatkan pasangan anda tersenyum simpul disana.
4. Sebelum ke mana-mana, atau untuk menamatkan perbualan telefon dan yang paling penting sebelum anda tidur ucapkan kata-kata sayang seperti “sayang awak” atau “cantiknya awak hari ini”cukup untuk membuaikan perasaan si isteri atau “abang nampak tampan hari ini” akan membuatkan si suami semakin sayangkan anda, tapi awas ucapkan dengan penuh ikhlas kerana kadangkala ia akan berbunyi seperti menyindir.    
5. Ajaklah pasangan anda untuk makan tengahari bersama sekali sekala di tempat kegemarannya pada hari penting anda dan dia seperti ulangtahun perkahwinan atau ulangtahun perkenalan.  Sentiasa buat kejutan padanya untuk menyatakan yang anda sentiasa ingati dan hargai si dia.  Selain dari itu anda boleh membuat kejutan dengan membelikan hadiah atau menghantar bunga pada hari ulangtahun cinta anda ke pejabatnya.  Isteri juga boleh membuat perkara yang sama dengan menghantar sebungkus coklat sebagai tanda ingatan atau memasak makanan kegemarannya.  Sekadar sekeping kad kadangkala sudah cukup untuk membuatkan si dia tersenyum sepanjang hari dan bersemangat untuk berjumpa nanti.
6. Amalkan bertanya tentang apa yang berlaku sepanjang hari padanya selepas pulang dari kerja sebagai tanda anda mengambil berat tentang apa sahaja yang berlaku kepadanya.  Jika dia mempunyai masalah mungkin anda boleh memberikan idea atau nasihat tentang apa yang perlu dilakukan.  Jangan berat sebelah dan memihak kepada sesiapa.  Jadikan ia sebagai komunikasi dua hala antara anda dan pasangan dan bukan hanya mendengar sahaja.
7. Luahan perasaan pada seseorang akan melegakan dan mengurangkan stress, jangan tunggu selepas pasangan anda menjadi murung atau tertekan untuk  memulakan langkah kerana kadangkala si dia malu untuk menyuarakan masalah terutama di tempat kerja yang pada pandangannya tidak berkaitan dengan anda.  Tidak hanya terikat kepada perbualan tentang masalah di tempat kerja sahaja, ketika sedang bersantai bersama anda boleh berbual tentang apa sahaja isu semasa atau masalah rumahtangga yang anda hadapi mungkin masalah kewangan hinggalah kepada politik.  Jadikan pasangan anda dan anggap dia sebagai kawan karib dan kaunselor anda setiap hari.
8. Tidak ada pasangan yang tidak bertengkar atau bertelingkah, cuma anda perlu bijak untuk menanganinya supaya ianya tidak berlarutan walau untuk satu jam apatah lagi selama berhari-hari.  Tenangkan hati dan jiwa anda sebelum memujuk pasangan kerana kadangkala wanita amat susah untuk ditenangkan tanpa sebab-sebab dan jawapan yang diperlukan oleh isteri.  Cuba untuk beralah terutama ketika si isteri sedang berbadan dua.  Walau apa yang terjadi jangan sesekali berpisah tempat tidur ketika anda sedang marah atau merasakan anda tidak bersalah kerana ianya akan lebih memburukkan keadaan.  Sentiasa berada disisi pasangan anda untuk menemaninya.
9. Apa sahaja masalah yang timbul yang menyebabkan pertelingkahan ini, segera selesaikan dan anda perlu bersikap jujur dan berterus terang dengan pasangan anda kerana dengan cara ini akan ada jalan penyelesaian yang terbaik.  Simpan tekad dan berjanji anda akan menjadi suami atau isteri yang baik untuk keluarga anda serta sentiasa bersikap positif agar mudah untuk anda mencapai matlamat baik itu.
10. Hargai pasangan dengan mengucapkan terima kasih kerana memasak untuk anda contohnya.  Jika anda akan menimang cahaya mata pastikan anda menghargai pengorbanan isteri anda dan layan dia dengan penuh kasih sayang, fahami kesakitannya dan bantu dia untuk membuat kerja-kerja rumah.  Buat isteri, hargai suami yang bersusah payah bekerja keras untuk menyara keluarga dan sentiasa berada disisi anda ketika susah mahupun senang.
11. Solat adalah tiang agama, amalkan solat berjemaah semasa dirumah bersama pasangan.  Berdoa bersama-sama serta bersalam-salaman selepas selesai solat.  Minta kemaafan dia jika anda ada membuat kesilapan dan elok dilakukan solat berjemaah setiap hari diikuti dengan solat sunat.  Selitkan juga tazkirah tentang agama dan membaca Al-Quran bersama.
12. Susuli hubungan anda dengan senda gurauan bersama pasangan kerana ini boleh mengeratkan lagi hubungan agar anda dapat menghilangkan segala masalah.  Ajak pasangan untuk sama-sama menonton rancangan kegemaran anda bersama atau luangkan masa untuk menonton wayang apabila ada kesempatan supaya perasaan seperti pasangan baru bercinta tidak akan luput dalam perhubungan anda dan pasangan.