Rabu, 4 September 2013

Simpanan Tak Mencukupi, Teruskan Atau Tangguh?

Simpanan Tak Mencukupi, Teruskan Atau Tangguh?
Simpanan Tak Mencukupi, Teruskan Atau Tangguh?
Permasalahan simpanan wang untuk majlis kahwin sememangnya sentiasa menghantui bakal pengantin. Mungkin disebabkan kos hidup yang tinggi membuatkan banyak wang dibelanjakan untuk barang makanan, membayar sewa rumah dan pelbagai macam bil.

Adakah anda dalam dilema? Meneruskan atau menangguhkan tarikh majlis. Ini adalah keputusan yang berat untuk diputuskan. Semakin menambahkan beban apabila pasangan meminta untuk mengadakan majlis di dewan. Bukan murah tempahan dewan, bukan itu sahaja, tempahan katering juga sudah mencecah ribuan ringgit. Itu tidak termasuk lagi keperluan barang hantaran dan duit hantaran lainnya.

Berbalik kepada topik majlis kahwin, sejauh mana keinginan anda untuk meneruskan majlis kahwin itu sendiri? Mari kita kaji dan selidiki sedikit sebanyak maklumat yang terkandung di bawah ini. Bolehlah dijadikan panduan dan tip bagi bakal pasangan yang ingin berkahwin tidak lama lagi:

Sekiranya majlis diteruskan andai simpanan masih tidak mencukupi:
1)      Berterus terang dengan pasangan dan berbincang dalam mencari jalan penyelesaian terbaik.
2)      Bertindak cepat dengan memberitahu ahli keluarga agar tidak berlaku permusuhan di akhir majlis.
3)      Membeli barang hantaran sendiri dengan harga yang berpatutan dan menggubah hantaran dengan bantuan saudara-mara terdekat.
4)      Memasak hidangan tetamu dengan bantuan gotong royong masyarakat luar seperti di kampung. Ini dapat menjimatkan kos dan masalah tidak cukup makanan tidak menjadi perbualan.
5)      Tiada masalah sekiranya anda tidak mahu mengadakan majlis persandingan. Tiada wang yang diperlukan untuk menyewa kerusi, latar dan dinding pelamin yang mencecah ribuan ringgit.
6)      Pemberian bunga telur boleh digantikan dengan gubahan barang kitar semula hasil seni tanganmu.

Majlis kahwin yang semengnya diiringi dengan senyuman manis pasti tidak mahu diakhiri dengan senyuman mencuka tanpa pelamin. Gunakan amalan bermesyuarat atau ‘syura’ dalam perancangan perkahwinan anda.

Firman Allah:
“…dan bermesyuaratlah dengan mereka (keluarga pihak perempuan), dan apabila telah berazam, bertawakallah kepada Allah s.w.t. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakal” (Ali Imran: 159)

Sesungguhnya Islam tidak menganjurkan untuk mengadakan majlis kahwin secara besar-besaran, cukuplah sekadar bersederhana dalam segala aspek. Keberkatan akan diperolehi dalam majlis yang sederhana ini.

Firman Allah:
“…dan jangan kamu membazir, sesungguhnya membazir itu adalah saudara syaitan, dan syaitan itu sangat ingkar kepada Tuhannya.” (al A’raf: 17)

Sekiranya majlis ditangguhkan andai simpanan masih tidak mencukupi:
1)      Berjimat cermat dengan membuat simpanan di bank dan berjimat dalam berbelanja.
2)      Memberitahu cepat ahli keluarga tahap kemampuan anda dengan harga hantaran yang ditetapkan.
3)      Meneliti harga barang hantaran, katering, tempahan baju dan membezakan di banyak kedai. Pilihlah kedai yang boleh menjimatkan anda.
4)      Bersedia untuk menempah katering yang tidak terlalu mahal dan mengikut kemampuan anda di masa akan datang. Pastikan selepas persandingan, anda mempunyai simpanan yang banyak untuk anda berdua memulakan kehidupan.
5)      Menempah pelamin yang berharga murah atau mengikut pakej yang berpatutan sekiranya anda menginginkan majlis persandingan bersama pasangan.
6)      Membeli gubahan bunga telur yang berharga murah dan tidak terlalu mahal.

Perlu diingat bahawa majlis perkahwinan tidak perlu dilakukan dengan cara pembaziran. Sesungguhnya, majlis yang diadakan secara berlebih-lebihan sehingga melebihi kemampuan anda sendiri, dengan berhutang akan menyusahkan anda di kemudian harinya.

Sabda Rasulullah s.a.w:
“Sesungguhnya yang besar berkat nikah ialah yang sederhana belanjanya.” (Riwayat Ahmad)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan