Bak lagu dendangan di dalam filem bujang lapok:
“wahai cik adik, jangan merajuk,
maafkan kami si bujang lapuk,
jikalau salah tolonglah tunjuk,
kamilah rela hai kena ketuk,
maafkan kami, maafkan kami”

Lagu yang sedikit sebanyak memberi gambaran betapa pentingnya untuk mengucapkan perkataan maaf apatah lagi di antara anda dan pasangan serta orang di sekeliling anda.  Dengan hanya mengucapkan kata maaf anda dapat menjernihkan keadaan.  Tidak kira untuk lelaki mahupun wanita cara untuk meluahkan perasaan tetap sama dan ia penting untuk menjaga hubungan anda berdua.

Jika dikaitkan dengan lelaki, mereka sering kali dikatakan sedikit ego dan tidak mahu mengalah dan wanita mudah terasa dan tidak mudah untuk memaafkan.   Mungkin ada benarnya mungkin juga tidak.  Apa kata anda baca tip yang kami berikan dan jangan lupa untuk praktiskan, mana tahu berguna.

Ucapkan kata maaf dengan penjelasan.  Maksudnya anda perlu memberi penjelasan tentang kesalahan yang anda lakukan dan nyatakan mungkin ada salah faham yang terjadi antara anda berdua.  Penjelasan anda perlu ringkas dan padat dan jangan sebut perkara-perkara yang mungkin akan mengeruhkan lagi keadaan.

Biarlah penjelasan yang anda berikan ikhlas dan tidak seperti dibuat-buat kerana ini akan lebih menyakitkan hati si dia.  Renung tepat ke matanya dengan kasih sayang dan disusuli dengan ciuman akan lebih melegakan perasaan anda berdua.

Pilih masa yang tepat untuk anda mengucapkan kata-kata maaf kerana jika anda biarkan masalah itu berlarutan dikhuatiri akan menjadi dendam pada pasangan.  Pastikan pasangan anda sudah reda daripada kemarahannya dan pilih waktu yang sesuai seperti selepas waktu kerja atau waktu lapang anda.

Bahagian yang paling digemari oleh semua orang adalah kata-kata maaf berserta hadiah untuk memujuk hati si dia.  Cukup sekadar sebiji coklat atau sekuntum bunga diiringi dengan keikhlasan dari anda pasti akan membuat si dia cair.  Tapi pastikan anda yang beli supaya ia tampak lebih meyakinkan.

Akhir sekali, jangan bimbang dengan reaksi yang akan diberikan oleh pasangan anda apabila anda mengucapkan kata-kata maaf.  Terima seadanya setiap kata-kata yang diucapkan si dia yang mungkin masih dalam keadaan marah dan bersedih.  Setiap manusia tidak lari dari membuat kesilapan dan pastikan ia menjadi pengajaran agar anda tidak mengulangi perkara yang sama di masa hadapan.

Selamat mencuba dan Salam Manis, Cinta & Bunga.