Selasa, 8 Mei 2012

ZAINA ZAIN BERUSIA 44 TAHUN !!

masih cun


TANGGAL 2 Mei lalu, genap 44 tahun usia penyanyi, pelakon dan model terkenal Ziana Zain. Bagi meraikan ulang tahun kelahiran Ziana, satu sambutan ringkas telah diadakan bersama peminatnya di Red Box, The Gardens, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.

Bertemu dengan ibu kepada empat orang anak iaitu Muhammad Aiman, 12, Muhammad Ammar, 9, serta pasangan kembar Muhammad Ariel Armin dan Siti Nour Kaseh Armin Zaharin, 1 tahun 5 bulan, yang kekal jelita itu, ternyata Ziana seorang yang cukup merendah diri berbeza dengan nama besarnya, malah dia cukup suka tertawa.

Bercerita perihal kerjayanya, Ziana antara anak seni yang cukup sukses dan kekal bertahan selepas 21 tahun aktif dalam dunia seni sejak muncul dengan album pertama berjudul Madah Berhelah pada tahun 1991.

Namanya terus harum, malah menjadi semakin mahal dan terus dipuja sehingga sekarang. Rahsianya, mungkin kerana vokalnya yang berbeza dan tidak mempunyai klon yang serupa dengan dirinya.

Tertawa dengan pujian yang diberikan, Ziana mengatakan suara yang dimiliki adalah kurniaan Allah. Vokal setiap penyanyi berbeza-beza dan dia bersyukur kerana vokal serta lagunya diterima peminat.

"Saya sangat bertuah dan bersyukur kerana disayangi peminat sejak muncul dengan album pertama sampai saya sudah ada empat orang anak," tuturnya.

Ditanya bagaimana Ziana menjaga vokalnya, tegasnya, dia mengelak untuk meminum air sejuk dan minuman bergas.

"Pernah ketika mula-mula jadi penyanyi, saya langsung tidak sentuh air sejuk dan bergas kerana bimbang boleh mengganggu kualiti vokal.

"Namun, sekarang suara saya sudah lasak, sesekali minum air sejuk dan bergas apa salahnya. Rugi pula kalau tidak merasa minum air sejuk," katanya yang telah muncul dengan tujuh buah album studio.

Bukan setakat vokal, jelas penyanyi yang pernah bergelar gadis kilang serta pramugari itu lagi, untuk mengekalkan reputasi dan juga kejayaan, dia menjadi dirinya sendiri setiap masa.

"Saya menjadi diri saya yang sebenar iaitu Siti Roziana pada setiap masa, tidak kiralah di rumah, di pentas persembahan dan juga ketika bersama peminat.

"Apabila kita menjadi diri sendiri dan merasakan pekerjaan saya iaitu menyanyi, berlakon dan model sebagai satu tanggungjawab, saya akan melakukan sebaik mungkin dalam semua perkara.

"Tidak perlu meniru atau menjadi orang lain semata-mata mahu dihargai. Paling penting, saya harus jujur dengan orang yang menyayangi saya, iaitu jujur terhadap keluarga dan peminat," luahnya lagi.

Selepas 10 atau 15 tahun akan datang, andai kata Ziana tidak lagi bergerak aktif di pentas nyanyian, beritahunya, dia mahu meninggalkan nama, imej yang bersih serta lagu malar segar buat peminat.

"Saya mahu lagu-lagu saya menjadi motivasi buat orang yang mendengarnya dan juga meninggalkan imej serta semua perkara terbaik yang peminat boleh ingati apabila saya sudah tidak bergelar anak seni lagi nanti," katanya dalam nada serius.

BERITA HIBURAN MALAYSIA.


addthis kongsi icon
Klip Video Terbaru Ziana Zain Sempena 44 Tahun

KL, 7 MEI 2012: Meskipun Murai Batu tidak diundang ke majlis meraikan ulang tahun ke-44, Ratu Pop Ziana Zain di Red Box, The Gardens baru-baru ini, tapi setidak-tidaknya Murai Batu berbangga kerana dalam usianya itu dia masih mempunyai kelompok peminat yang ramai.
Khabarnya seramai 81 peminat Puncak Kasih itu telah hadir meraikan ulang tahun Ziana Zain secara tertutup di pusat karaoke terkemuka berkenaan sehingga lewat jam 3 pagi pada hujung minggu lalu, selain dimeriahkan dengan beberapa aktiviti menarik.
Aktiviti yang menarik jika dikaitkan dengan Ziana Zain pastinya pertandingan karaoke yang telah dianjurkan sendiri oleh kelab peminat Ziana Folks bagi mencari klon diva terkemuka itu selain membolot gelaran juara.
Selain itu juga turut diadakan cabutan bertuah dan pertandingan Jangan Lupa Lirik lagu-lagu Ziana Zain bagi menyemarakan acara.
Meskipun Cuma sebuah majlis kecil-kecilan, tapi Ziana Zain nampaknya telah menyalinkan dua persalinan berbeza. Satu dari rekaan Zery Zamry dan satu lagi Rizman Ruzaini. Hebat sungguh mama vogue kita seorang ni.
Amboi Kak Ziana kita sorang ni. Bukan main lagi ya. Sampai jam 3 pagi lagi. Hai! Abang Armin dan anak-anak tak merajuk kah Ziana pulang lewat?
Murai Batu difahamkan, setiap tahun sekiranya kelab peminatnya itu menganjurkan majlis ulang tahun, berat sungguh hati Ziana Zain untuk menolak kerana baginya kerana peminatlah dia masih bertahan sehingga ke hari ini. Jadi untuk berkata tidak kepada mereka, bukanlah jawapan yang terbaik.
Walaubagaimanapun, Murai Batu dapat tahu peminat Ziana Zain telah menjadi saksi pertama yang telah diberi penghormatan menonton klip video terbaru miliknya berjudul Misteri Cinta dendangan bersama Sohaimi Mior Hassan.
Apa yang menarik, Murai Batu dapat tahu, klip video berkenaan telah dirakamkan oleh sekumpulan anak muda daripada produksi yang masih mentah, bagaimanapun kualitinya sangat memberangsangkan penyanyi berkenaan.
Betulkah Ziana?
Tak sabar pula Murai Batu ingin menyaksikan sendiri klip video berkenaan kerana khabarnya mempunyai jalan cerita yang menarik, di mana penggambaran telah diadakan diadakan di beberapa lokasi berbeza.
Walaupun Murai Batu tidak lagi berkesempatan menonton klip video ini, tapi tak salah agaknya jika Murai Batu kongsikan hasil duet Ziana Zain bersama-sama penyanyi veteran Sohaimi Mior Hassan yang telah diletakan di laman YouTube.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan