Rabu, 4 September 2013

10 Cara Rencanakan Perkahwinan Anda

Rencanakan Perkahwinan Anda
Rencanakan Perkahwinan Anda
Impikan majlis perkahwinan yang sempurna? Atau sesempurna mungkin? Mudah sahaja...pastikan setiap perancangan asas dijalankan dengan sebaik mungkin. Pesona Pengantin sedia membantu.
Dalam merencanakan hari bahagia anda, ada perkara yang wajib anda tahu, perlu anda tahu dan bagus juga kalau anda tahu. Tidak lah saat tiba hari bahagia anda baru terfikir, “kenapa saya tak tahu ni?” Jika anda terasa seperti ada perkara yang anda terlupa atau tertinggal untuk lakukan, mungkin tip dan trik yang kami sediakan ini boleh dijadikan panduan.
1. Tetamu Diutamakan
Pastikan jumlah tetamu yang dijemput dan anggaran yang bakal hadir (terutamanya tetamu dengan bilangan anak-anak yang mungkin anda tidak ingat berapa jumlahnya). Ini membantu dalam perancangan tempat duduk dan ruang (jika majlis di dewan atau hotel khasnya). Selain itu, penyediaan makanan juga dapat ditentukan agar tidak timbul masalah makanan tidak cukup atau kehabisan (perkara penting yang WAJIB dielakkan dalam setiap majlis).
2. Pilihan Tarikh Yang Tepat
Tarikh kahwin adalah sangat penting. Anda tentu tidak mahu tarikh yang dipilih sama dengan tarikh kahwin sanak saudara atau sahabat handai yang lain atau juga terdapat majlis syarikat yang membuatkan rakan-rakan sekerja tidak berpeluang menghadiri majlis anda nanti.
3. Ambil Kira Faktor Musim
Jangan kerana terlalu taksub dengan tarikh yang cantik sehingga anda lupa bahawa ia jatuh pada musim tengkujuh atau musim kemarau. Selain cuaca, ada juga sesetengah tempat/kawasan yang diserang dengan musim haiwan-haiwan perosak seperti  lalat, tikus atau serangga. Anda tentu tidak mahu, ‘tetamu yang tidak diundang’ menggangu majlis anda.
4. Kredit Yang Cukup
Kos kahwin memang memerlukan wang yang banyak walaupun untuk perkahwinan bajet rendah. Selain pinjaman kewangan daripada bank, keluarga dan sanak-saudara, anda mungkin boleh mengambil kad kredit yang menawarkan mata ganjaran yang tinggi. Lebih baik jika mata ganjaran yang ditawarkan boleh ditukar dengan pakej percutian, boleh juga menjimatkan kos bulan madu nanti. (Tetapi, jika anda mempunyai simpanan yang mencukupi, idea ini mungkin tidak perlu diguna pakai).
5. Kurangkan Bajet
Cara paling mudah untuk mengurangkan kos keseluruhan ialah dengan mengurangkan jumlah tetamu yang hadir. Andaikan seorang tetamu kosnya RM50, jika anda kurangkan 10 tetamu, anda jimat RM500. Jika 50 tetamu..anda tahukan berapa yang anda jimat (pasti anda tersenyum sekarang ini). Mungkin kedengaran seperti anda seorang ‘tangkai jering’ tetapi itulah hakikatnya.
6. Rancang Menu
Satu lagi kos tersembunyi yang ‘jarang’ diambil peduli. Dalam mana-mana majlis perkahwinan, makanan sering berlebihan sehingga menjurus kepada membazir. Rancang menu yang ringkas tetapi sedap dan mencukupi untuk santapan perut para tetamu. Ikut pelan pemakanan yang sihat. Yang penting perlu ada karbohidrat (nasi), protein (ayam/daging), zat mineral (acar timun/pajeri nanas/acar buah), pemanis mulut (potongan oren/pisang/agar-agar/kek) dan minuman (kurang manis tentunya). Selalunya bukan berapa jenis makanan yang dihidangkan tetapi kesedapan makanan yang menjadi buah mulut para tetamu.
7. Tawar Menawar Berkesan
Ini tip yang baik. Jangan lupa untuk melakukan sedikit (atau banyak) tawar menawar dengan setiap perkhidmatan yang anda upah untuk menjayakan majlis perkahwinan anda. Kalau boleh mendapat tajaan adalah lebih baik. Banyak yang boleh anda jimatkan.
8. Yang Tidak Hadir
Bersedia dengan kemungkinan bahawa tetamu-tetamu yang dijangka hadir tetapi tidak ‘menampakkan muka’ di majlis perkahwinan anda. Lebih merugikan jika majlis dibuat di dewan atau hotel. Jangkakan sekurang-kurangnya 20 peratus tetamu yang dijemput tidak akan hadir di saat-saat akhir. Anda perlu akui bahawa tidak semua tetamu jemputan anda mempunyai rasa tanggungjawab untuk memaklumkan ketidakhadiran mereka lebih awal ya. Pastikan anda mempunyai ‘back-up plan’ untuk memenuhi setiap kerusi yang telah dibayar itu.
9. Lakukan Satu Persatu
Kumpulkan semua rencana perkahwinan anda. Semak semuanya dan lakukan setiap perkara dalam senarai semak anda mengikut keutamaan. Jangan terburu-buru mahu melakukan banyak perkara serentak. Ambil masa untuk lakukannya satu persatu agar setiap perancangan dapat dilakukan dengan sebaik mungkin. Cara ini anda tidak akan ‘terlepas’ atau ‘tertinggal’ apa-apa yang mungkin membawa kepada kecemasan yang tidak diperlukan.
10. Simpan Sedikit
Ini adalah tip yang sangat penting. Jangan kerana impian mahukan majlis perkahwinan yang terlalu sempurna atau lain daripada orang lain, poket anda yang sengsara. Fikirkan juga belanja-belanja lain selepas majlis perkahwinan anda. Itu lebih realistik. Jika boleh simpan atau jimatkan sekurang-kurangnya 20 peratus daripada jumlah sebenar kos yang diperuntukkan. Formula ringkas yang boleh diguna pakai: 48:50 peratus jumlah keseluruhan bajet, 8:10 peratus untuk bunga, busana dan muzik, 10:12 peratus untuk khidmat jurugambar/video dan 2:3 peratus untuk jemputan dan cenderahati.  

Sarapan Pemikat Hati Suami

Pemikat Hati Suami
Pemikat Hati Suami
Benar sungguh kata orang tua-tua bahawa ‘air tangan isteri, pengerat kasih suami’. Baru tiga hari bergelar isteri, anda sudah diminta untuk melayani kehendak selera suami tercinta? Sudah menjadi kewajipan dan tanggungjawab seorang isteri memenuhi kehendak selera suami.

Bukan tidak mahu memasak, nanti dikatakan tidak pandai pula. Ayuh, isteri tercinta rebutlah hati suami dengan idea menu pilihan sarapan pagi dalam menambat cinta si dia. Pautan kasih suami pasti akan terpatri padamu sepanjang masa, setiap hari.  Ketika bulan puasa ini, jangan pula praktiskan sarapan ini ya.  Boleh diamalkan untuk bersahur dan ketika hari-hari biasa.  Amalkan dan ianya akan menjadi kebiasaan kepada anda.  Sesibuk mana pun anda, luangkan sedikit masa untuk menjamu pasangan.  Nescaya kasih dan sayang itu akan terbentuk erat.

Hari Isnin
Ø  Sarapan Pagi
Sandwic Telur dan segelas susu segar
Sediakan menu ringkas sandwic telur dengan sayur salad segar, hirisan tomato, dan sedikit mayones. Telur pula boleh dimasak dua cara, sama ada goreng atau rebus. Sekiranya suami sukakan telus rebus, variasikan rasa telur yang dihancurkan dengan sedikit serbuk lada putih atau serbuk lada hitam. Bangkitkan selera suami dan beri tenaga yang diperlukan sebelum dia keluar ke pejabat. Susu segar mampu memberikan tenaga di waktu pagi dan mengelakkan tubuhnya keletihan.

Hari Selasa
Ø  Sarapan Pagi
Roti bakar berjem coklat Nutella dan segelas milo panas
Menu ini sangat ringkas dan mudah untuk anda sediakan kepada suami tercinta. Dengan dua keping roti bersapu jem Nutella, sudah mencukupi untuk memulakan aktiviti di pagi hari. Milo panas kegemarannya pula sedap di minum di pagi hari. Pasti sayang akan lekat selamanya.

Hari Rabu
Ø  Sarapan Pagi
Koko Crunch dan segelas minuman chocomalt panas
Bijirin gandum ini sangat berkhasiat dan bakal menarik hati suami anda. Semangkuk Koko Crunch yang dicampur dengan susu segar akan menjadikan ia lebih lazat lagi. Walaupun menu ini kelihatan ringkas, namun kandungan karbohidrat kompleks, vitamin dan mineral di dalamnya akan menjadikan hari anda dan suami sihat serta bertenaga.

Hari Khamis
Ø  Sarapan Pagi
Nasi Himpit Bersayur Lodeh
Menu ini kelihatan agak berat tetapi sesuai untuk sarapan pagi. Suami anda pasti menggemari menu nasi himpit di mana ia mengenyagkan untuk tempoh lama. Di hari bekerja, rasa kenyang akan dirasai sehingga ke petang hari.

Hari Jumaat
Ø  Sarapan Pagi
Bijirin Quaker Oat atau Nestum
Tiada alasan untuk tidak bersarapan pagi walaupun sibuk bersiap untuk ke pejabat. Dengan penyediaan bijirin Quaker Oat atau Nestum, hati suami dapat dicuri. Mudah sahaja untuk menyediakan menu ini tanpa memerlukan kepakaran dalam bidang masakan.

Hari Sabtu
Ø  Sarapan Pagi
Telur hancur, kacang panggang, sosej dan jus Oren.
Dalam tempoh 10 minit sahaja menu ini bakal menambat hati suami anda. Telur hancur ringkas yang dicampur sesudu susu segar serta mayones dan digoreng dengan sedikit mentega akan memberikan rasa yang enak. Dua sosej rebus dan kacang panggang tambah menyelerakan menu pagi anda dan suami! Kembalikan kesegaran pagi, dengan tegukan jus oren segar sebelum anda memulakan aktiviti seterusnya.

Hari Ahad
Ø  Sarapan Pagi
Nasi Lemak dan Nescafe panas
Ceriakan pagi hujung minggu dengan menu sarapan yang sedikit berat. Walaupun agak sukar kepada anda yang baru bergelar isteri dan tidak pandai memasak, anda perlu mengambil hati suami dengan menunjukkan kebolehan ini. Dapatkan maklumat tentang masakah daripada laman sesawang. Nasi lemak telur goreng semestinya sedap dan enak dimakan bersama suami di pagi hari sambil bersantai menonton televisyen. Gabungan minuman Nescafe panas pula menyegarkan dan menggembirakan hujung minggu anda suami isteri.

Kasih dan sayang suami akan sentiasa terpancar di wajahnya dengan menu sarapan hebat seperti di atas. Dengan senyuman manis terpatri, di kala menghadap hidangan sarapan yang disediakan anda, pasti tersisip rasa cinta yang bugar berpanjangan.

Tabiat Perlu Dielakkan Agar Cantik Setiap Masa

Tabiat Perlu Dielakkan Agar Cantik Setiap Masa
Tabiat Perlu Dielakkan Agar Cantik Setiap Masa
Impian untuk menjadi insan lebih hebat  bakal menjadi kenyataan jika anda  tergolong dalam mereka yang tahu menghargai kecantikan dan kesihatan diri sendiri.  Dapatkan info untuk beberapa tabiat yang perlu dielakkan agar anda sentiasa cantik setiap masa terutama sebelum hari bahagia anda nanti.

Eratkan persahabatan untuk gaya hidup sihat
Tidak lama lagi anda bakal bergelar permaisuri kepada lelaki yang anda cintai. Namun ada hati-hati yang bakal merasai kehilangan  sebelum anda melangkah ke alam perkahwinan. Persahabatan yang terjalin setelah sekian lama dirasakan jauh apatah lagi mereka menganggap kehidupan anda tidak lagi akan dikongsi kepada mereka. Buat anda yang bakal melangsungkan perkahwinan, janganlah diabaikan hubungan persahabatan itu dengan menganggap pendapat mereka tidak diperlukan lagi. Sebagai sahabat mereka berhak berkongsi hari-hari bahagia anda bersama.
TIP :  Hadiahkan senyuman seikhlas mungkin untuk teman rapat anda dan kongsilah perasaan teruja atau kebimbangan yang anda alami walaupun seketika. Paling penting,  genggam erat tangan teman anda itu dengan mesra sebagai tanda ‘ aku masih sahabatmu seperti dahulu’.
  
Wanita ceria harus bangun awal setiap hari
Pagi ini hatiku berbunga ceria. Ku angkat wajahku dan menghirup udara pagi yang segar bak  angin nan lalu. Nah, amalan bangun pagi ini bukan hanya dilakukan dalam masa yang singkat. Kalau boleh amalkan tabiat ini sepanjang hidup anda selama bergelar wanita. Biarpun anda tiba lewat malam kerana terlalu sibuk dengan persiapan untuk hari bahagia, belajarlah untuk bangun pagi setiap hari.   Menurut kajian, tubuh telah diprogramkan secara semulajadi untuk bangun selepas tidur selama tujuh atau lapan jam sehari. Jadi secara automatiknya jam biologi akan memberi isyarat kepada tubuh untuk bangun.  
TIP : Untuk bangun awal pagi, anda harus tidur nyenyak pada malam hari. Cuba padamkan komputer dan tv beberapa jam sebelum tidur dan pilih bantal dengan tepat supaya tidak berlaku ketegangan pada leher dan rasa sakit di bahagian kepala.

Jangan malas untuk pakai tali pinggang  keselamatan
Sedar atau tidak semasa menaiki kenderaan untuk keluar membeli barang, anda tidak suka memakai tali pinggang dengan alasan lokasi yang dituju tidak jauh. Alasannya ialah berasa rimas dan kurang selesa untuk memandu. Tetapi sebenarnya apa yang anda fikirkan? Jawapan sebenar ialah ‘ Saya tidak gemar memakai tali pinggang  keselamatan kerana badan saya yang semakin hari semakin berisi. Rasa lemas dan sukar untuk bernafas!
Tetapi apa pula kaitannya pakai tali pinggang keselamatan dengan cantik dan sihat? Ya, kajian menunjukkan 30% individu yang termasuk dalam kelompok ‘ berisi’ atau gemuk, dikatakan fobia untuk memakai tali pinggang keselamatan jika dibandingkan 20% individu yang mempunyai berat badan normal. Ini adalah kerana mereka yang mempunyai berat badan berlebihan ini berasa tidak selesa dengan tali pinggang yang mencengkam dada dan perut mereka.
TIP :  Mungkin selepas memakai tali pinggang keselamatan, anda akan sedar perubahan badan yang berlaku. Anggaplah ini sebagai pemangkin diri untuk mengurangkan berat badan sekaligus menjamin keselamatan semasa di dalam kereta. Pastikan kepulangan anda disambut oleh orang tersayang.

Kucing boleh dipegang tetapi jangan kerap dicium
Haiwan comel ini menjadi teman di kala anda dan pasangan terpaksa ‘ dikuarantin’ selama 30 hari daripada bertemu  sehingga tibanya hari bahagia. Sebagai pengubat kesunyian, anda pasti memeluk dan mencium haiwan ini seberapa kerap yang mungkin.  Hati-hati! Pasti ramai yang tidak menyedari tentang risiko memelihara kucing boleh menimbulkan pelbagai masalah kesihatan melalui penyakit yang dikenali sebagai cat scratch disease.
Penyakit ini berpunca daripada jangkitan bakteria yang dibawa melalui air kucing. Jadi untuk kekal cantik dan sihat, awas! Jaga mata anda dan jangan kerap mencium kucing.
TIP : Penyakit itu tidak serius kepada mereka yang sihat, tetapi ia boleh menimbulkan masalah kepada mereka yang mempunyai imun yang rendah. Tidak salah membelai kucing, asalkan anda mencuci tangan menggunakan sabun selepas membelai kucing.

Takut keluar rumah sebab mentari terik?
Tiapkali ahli keluarga mengajak keluar rumah, anda mengatakan tidak, hanya kerana takutkan pancaran cahaya matahari yang boleh menggelapkan tubuh. Kita semua tahu betapa pentingnya mengelakkan diri daripada sinar matahari secara langsung. Namun kita juga harus sedar yang sinar mentari pagi sebelum jam 10.00 pagi sangat baik untuk membekalkan vitamin D buat tubuh.
Manakala pancaran sinar matahari paling terik biasanya berlaku sekitar jam 10.00 pagi sehingga 4.00 petang. Jadi untuk mereka yang ingin cantik dan menawan, jangan mengelakkan aktiviti luar sepanjang tempoh ini atau pakailah payung bagi melindungi anda.
TIP : Gunakan krim penabir suria yang mempunyai lebih daripada 15 apabila anda berada di ruang terbuka yang mempunyai biasan seperti di kolam renang, cermin atau ais.

Simpanan Tak Mencukupi, Teruskan Atau Tangguh?

Simpanan Tak Mencukupi, Teruskan Atau Tangguh?
Simpanan Tak Mencukupi, Teruskan Atau Tangguh?
Permasalahan simpanan wang untuk majlis kahwin sememangnya sentiasa menghantui bakal pengantin. Mungkin disebabkan kos hidup yang tinggi membuatkan banyak wang dibelanjakan untuk barang makanan, membayar sewa rumah dan pelbagai macam bil.

Adakah anda dalam dilema? Meneruskan atau menangguhkan tarikh majlis. Ini adalah keputusan yang berat untuk diputuskan. Semakin menambahkan beban apabila pasangan meminta untuk mengadakan majlis di dewan. Bukan murah tempahan dewan, bukan itu sahaja, tempahan katering juga sudah mencecah ribuan ringgit. Itu tidak termasuk lagi keperluan barang hantaran dan duit hantaran lainnya.

Berbalik kepada topik majlis kahwin, sejauh mana keinginan anda untuk meneruskan majlis kahwin itu sendiri? Mari kita kaji dan selidiki sedikit sebanyak maklumat yang terkandung di bawah ini. Bolehlah dijadikan panduan dan tip bagi bakal pasangan yang ingin berkahwin tidak lama lagi:

Sekiranya majlis diteruskan andai simpanan masih tidak mencukupi:
1)      Berterus terang dengan pasangan dan berbincang dalam mencari jalan penyelesaian terbaik.
2)      Bertindak cepat dengan memberitahu ahli keluarga agar tidak berlaku permusuhan di akhir majlis.
3)      Membeli barang hantaran sendiri dengan harga yang berpatutan dan menggubah hantaran dengan bantuan saudara-mara terdekat.
4)      Memasak hidangan tetamu dengan bantuan gotong royong masyarakat luar seperti di kampung. Ini dapat menjimatkan kos dan masalah tidak cukup makanan tidak menjadi perbualan.
5)      Tiada masalah sekiranya anda tidak mahu mengadakan majlis persandingan. Tiada wang yang diperlukan untuk menyewa kerusi, latar dan dinding pelamin yang mencecah ribuan ringgit.
6)      Pemberian bunga telur boleh digantikan dengan gubahan barang kitar semula hasil seni tanganmu.

Majlis kahwin yang semengnya diiringi dengan senyuman manis pasti tidak mahu diakhiri dengan senyuman mencuka tanpa pelamin. Gunakan amalan bermesyuarat atau ‘syura’ dalam perancangan perkahwinan anda.

Firman Allah:
“…dan bermesyuaratlah dengan mereka (keluarga pihak perempuan), dan apabila telah berazam, bertawakallah kepada Allah s.w.t. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakal” (Ali Imran: 159)

Sesungguhnya Islam tidak menganjurkan untuk mengadakan majlis kahwin secara besar-besaran, cukuplah sekadar bersederhana dalam segala aspek. Keberkatan akan diperolehi dalam majlis yang sederhana ini.

Firman Allah:
“…dan jangan kamu membazir, sesungguhnya membazir itu adalah saudara syaitan, dan syaitan itu sangat ingkar kepada Tuhannya.” (al A’raf: 17)

Sekiranya majlis ditangguhkan andai simpanan masih tidak mencukupi:
1)      Berjimat cermat dengan membuat simpanan di bank dan berjimat dalam berbelanja.
2)      Memberitahu cepat ahli keluarga tahap kemampuan anda dengan harga hantaran yang ditetapkan.
3)      Meneliti harga barang hantaran, katering, tempahan baju dan membezakan di banyak kedai. Pilihlah kedai yang boleh menjimatkan anda.
4)      Bersedia untuk menempah katering yang tidak terlalu mahal dan mengikut kemampuan anda di masa akan datang. Pastikan selepas persandingan, anda mempunyai simpanan yang banyak untuk anda berdua memulakan kehidupan.
5)      Menempah pelamin yang berharga murah atau mengikut pakej yang berpatutan sekiranya anda menginginkan majlis persandingan bersama pasangan.
6)      Membeli gubahan bunga telur yang berharga murah dan tidak terlalu mahal.

Perlu diingat bahawa majlis perkahwinan tidak perlu dilakukan dengan cara pembaziran. Sesungguhnya, majlis yang diadakan secara berlebih-lebihan sehingga melebihi kemampuan anda sendiri, dengan berhutang akan menyusahkan anda di kemudian harinya.

Sabda Rasulullah s.a.w:
“Sesungguhnya yang besar berkat nikah ialah yang sederhana belanjanya.” (Riwayat Ahmad)

Carilah Keserasian, Walau Berbeza

Carilah Keserasian, Walau Berbeza
Carilah Keserasian, Walau Berbeza
Ungkapan ‘men are from mars, women are from venus’ terbukti benar. Lelaki dan wanita diciptakan memiliki pemikiran, sikap dan sifat saling bertolak berlawanan, seperti berasal dari dua planet berbeza. Tidak hairanlah salah faham kerap terjadi apabila lelaki dan wanita berkomunikasi (secara verbal atau non-verbal). Apa yang ditangkap dalam otak lelaki, boleh jadi jauh berbeza dengan maksud yang diucapkan oleh wanita.

Wanita memberi isyarat, lelaki terus meminta
Lelaki biasa mengutarakan maksudnya secara langsung, sementara wanita lebih suka memberi isyarat. Dalam sebuah hubungan, wanita seringkali mengharapkan pasangannya dapat membaca fikiran mereka dan tahu apa yang mereka mahu, tanpa memberitahunya secara langsung. Agar tidak selalu terjadi salah faham, sebaiknya anda mengatakan secara langsung apa yang diinginkan dari si dia. Kesal atau marah tidak terus membuatnya tahu apa yang ada di fikiran anda. Sebaliknya, dia akan pening dan tertekan kerana harus meneka-neka kenapa pasangannya marah secara tiba-tiba.

Wanita memerhatikan secara terperinci, tapi lelaki tidak
Wanita punya ingatan luar biasa pada hal-hal kecil termasuklah hari pertama ‘dating’, hadiah-hadiah, bahkan kucupan pertama. Sifat bawaan ini membuatnya lebih sentimental daripada lelaki. Sementara lelaki pula lebih cenderung memikirkan hal-hal yang sifatnya lebih penting dan besar. Lupa tanggal ‘dating’ pertama, bukan bererti pasangan tidak peduli terhadap perhubungan. Anda harus mengerti bahawa pasangan anda tidak boleh mengingat hal-hal secara terperinci dengan baik kerana cara mereka memproses informasi dalam otak berbeza dengan wanita.

Lelaki fokus pada satu hal, wanita dalam pelbagai hal
Lelaki dan wanita memiliki cara pandangan yang berbeza. Fikiran lelaki mudah terbahagi dan hanya boleh fokus pada satu hal saja. Ini bererti secara mental dan emosional mereka tidak boleh memikirkan cinta, pekerjaan atau hobi dalam sekaligus. Sementara wanita mampu memandang segala sesuatu dalam ‘gambaran yag lebih besar’ ertinya, dia mampu menggabungkan berbagai aspek kehidupan mereka dalam satu fikiran. Jika tiba-tiba si dia menonton pertandingan bola di tengah-tengah perbincangan serius, bukan bererti dia tidak memepedulikan apa yang anda ucapkan.

Wanita banyak bercakap, lelaki lebih banyak berdiam
Saat marah atau didera stres, wanita cenderung meluahkan semua kekesalannya. Baik masalah pekerjaan, jadual harian yang padat mahupun masalah keluarga. Wanita juga kadang-kadang menggunakan kata-kata atau ucapan yang lebih dramatik untuk menerangkan keadaaan sebenarnya. Emosi wanita lebih mudah meledak. Namun, wanita tetap mampu cepat meredakan amarahnya.

Di sisi lain, saat lelaki mengalami stres, si dia lebih memilih diam untuk beberapa waktu. Lelaki hanya ingin menenangkan diri dengan menonton TV, bermain komputer atau menyendiri untuk melupakan masalahnya. Wanita akan bertanya kenapa pasangannya bersikap lain dan menjauh darinya, apakah tindakan atau perkataannya yang salah? Janganlah terburu-buru berfikir anda akan dicampakkan saat si dia menjauh. Beri si dia sedikit waktu untuk tenangkan diri, dan lebih baik menyibukkan diri daripada mendesak fikiran sendiri dengan sejuta pertanyaan. Jika saat perasaannya sudah lebih baik, si dia pasti akan kembali dan mengajak anda untuk menghabiskan waktu bersama.

Lelaki juga emosional, wanita berfikir sebaliknya
Wanita berfikir semua lelaki tidak punya sisi emosional. Kenyataannya, kebanyakan lelaki sebenarnya sangat sensitif dan punya perasaan mendalam. Namun, mereka tidak selalu menunjukkannya. Wanita sebenarnya tidak tahu pasangannya juga merasakan hal-hal emosional seperti sakit hati atau penolakan. Lelaki merasakannya lebih dari apa yang anda tahu, tetapi bukan bererti anda boleh tahu perasaan yang sebenarnya. Cara terbaik untuk mengetahuinya adalah secara komunikasi yang baik.

25 Tip Rumahtangga Layarkan Bahtera Bahagia

TIP RUMAHTANGGA
Jika matlamat anda untuk kerukunan rumahtangga yang berpanjangan, pastikan anda memainkan peranan penting dalam perhubungan sama ada baik atau buruk. Saat anda bertanggungjawab dalam peranan tersebut, anda pasti mampu melestarikan hubungan dengan pasangan dalam cara yang matang dan penuh keintiman.
 
Namun, andai anda masih kurang yakin, kami bawakan 25 tip untuk anda amalkan.
1. Kajian membuktikan bahawa sentuhan kulit boleh mewujudkan jalinan yang lebih erat kerana tubuh merembeskan hormon ‘oxytocin’. Lakukan lah apa sahaja yang boleh membuatkan anda bersentuh kulit dengan pasangan seperti berpegangan tangan, gosokan lembut di bahu, pelukan dan ciuman.
2. Belajar untuk menerima perbezaan pasangan terutamanya jika dia tidak sependapat dengan anda dalam hal-hal tertentu.
3. Ambil waktu untuk menghargai pasangan bukan sekadar dengan hadiah tetapi dengan ingatan yang tulus ikhlas. Selitkan nota-nota cinta untuk si dia sebagai kejutan yang manis. Pasti si dia akan mengukir senyuman sepanjang hari.
4. Untuk suami – dengarkan luahan rasa si isteri. Untuk si isteri pula – berikan sedikit ruang dan masa peribadi untuk suami anda.
5. Jangan cuba untuk mengubah pasangan anda. Terima setiap kelebihan dan kekurangannya. Belajar untuk bertolenrasi.
6. Prihatin pada setiap masalah terutamanya masalah di bilik tidur. Cubalah sedaya upaya untuk mencegah dan menyelesaikan masalah walaupun dengan cara yang paling tidak munasabah.
7. Sentiasa berlaku adil terutamanya dalam menguruskan hal rumah tangga seperti kerja rumah, menjaga anak-anak, hal-hal kewangan dan keperluan masing-masing.
8. Tiada yang lebih penting dalam perkahwinan selain daripada hubungan mesra antara suami dan isteri. Pastikan hubungan suami isteri menjadi keutamaan.
9. Fokuskan kepada cara terbaik untuk melayan pasangan dengan baik dan mesra. Anda juga akan mendapat layanan yang sama.
10. Jangan mulakan ayat dengan menyebut ‘awak’ tetapi lebihkan ‘saya’. Berkongsi perasaan anda dan bukannya pandangan anda.
11. Jangan mudah menyalahkan dan mengkritik pasangan. Ia terapi terbaik untuk diri anda juga.
12. Teruskan acara ‘dating’. Janganlah kerana sudah tinggal sebumbung, anda lupa untuk berdua-duaan dengan pasangan. Tetapkan waktu atau hari untuk keluar ‘dating’ sebagai mengingati momen-momen mesra semasa berpacaran.
13. Peruntukkan waktu walau sekejap untuk bercerita tentang diri anda berdua seperti saat bercinta. Elakkan bercakap tentang anak, keluarga dan kerja.
14. Sayangi perkahwinan anda dengan mengutamakan kesihatan diri dahulu. Jika anda sihat, pasangan anda juga akan sihat dan gembira. Pastinya anda boleh menjaga keharmonian dan kesejahteraan rumah tangga.
15. Anda adalah cermin pasangan anda. Apa sahaja yang anda lakukan akan memberikan impak pada pasangan.
16. Dengan rutin seharian yang sibuk, sedikit sebanyak akan menjejaskan hubungan anda dan pasangan. Peruntukkan masa untuk melakukan aktiviti yang menyeronokkan bersama-sama.
17. Buat senarai saat-saat indah bersama. Peruntukkan beberapa minit setiap hari untuk mengingati saat-saat itu. Anda pasti terkejut dengan hasilnya.
18. Sentiasa ucapkan sayang dan cinta kepada pasangan untuk menyemarakkan lagi perhubungan. Minta maaf jika anda berbuat salah dan maafkan pasangan jika dia pula yang bersalah.
19. Hargai pasangan anda sekurang-kurangnya lima kali sehari dengan penuh keikhlasan. Pelbagai cara boleh anda lakukan. Gunakan kreativiti anda!
20. Komunikasi dan masa adalah elemen terpenting dalam perhubungan.
21. Hormat pasangan anda dan sentiasa berlembut dalam perbualan. Bercakap kasar dengan pasangan umpama memicit ubat gigi, sekali sudah terkeluar, tidak mungkin boleh dimasukkan semula.
22. Pastikan anda bercakap dengan pasangan anda walaupun sekadar 10 minit sehari. Lakukan semasa makan malam, sebelum tidur atau bila-bila masa sahaja asalkan ia konsisten setiap hari.
23. Cara terbaik untuk mengeratkan perhubungan ialah dengan sokongan dan saling membantu. Ikatan perkahwinan yang kuat apabila kedua-duanya saling memahami keperluan masing-masing.
24. Rasa cinta sudah mula pudar? Atasinya dengan 1: tuliskan 10 kualiti yang anda suka pada pasangan anda ketika mula-mula berkenalan. 2: senaraikan 10 aktiviti seronok yang anda lakukan bersama ketika bercinta – lakukan satu persatu setiap minggu dan bawa kembali keseronokan itu.
25. Anda berhak untuk berasa ‘moody’ tetapi anda tidak berhak untuk melepaskannya kepada pasangan anda. Cari masa bersendirian untuk menenangkan diri.

Isnin, 1 April 2013

Uqasha Sensore Bercinta dengan Pekin Ibrahim?

Pekin Ibrahim & Uqasha Senrose

Kalau adiknya, Nelydia Senrose agak 'berahsia' mengenai hubungan cintanya dengan pelakon dan pengacara Qi Razali. Berbeza pula dengan si kakaknya, pelakon Uqasha Senrose yang nampaknya lebih senang membuat pengakuan, dia sedang berkawan rapat dengan aktor kacak Pekin Ibrahim sejak penggambaran membintangi bersama filem Paku Pontianak terbitan Metrowealth Pictures.
Uqasha berkata, bagaimanapun dia dan Pekin masih lagi mengenal hati budi masing-masing dan belum memikirkan perhubungan yang lebih serius.
"Benar kami berkawan dan sedang mengenal hati budi masing-masing.
"Sehingga kini dia adalah lelaki yang paling rapat dengan saya, tambahan pula dia juga banyak mengajar teknik-teknik lakonan kepada saya,"
Baru-baru ini, menerusi laman sosial Instagram milik Pekin, dia sering memuat naik beberapa foto-foto Uqasha serta foto bersama.
Malah Pekin turut memuat naik foto dia, Qi Razali serta keluarga adik beradik itu yang bercuti di Phuket, Thailand pada minggu lalu.