Walaupun berat hati untuk melepaskan si kekasih hati pergi, nampaknya hati gadis muda ini cekal dan keras untuk mengakhiri hubungan mereka. Rayulah sebanyak manapun, hati Miera masih terluka dengan apa yang berlaku dan sukar untuk memaafkan bekas kekasihnya itu.
Ternyata, Miera ada alasan kukuh untuk mengakhiri hubungan mereka. Apa gunanya dia mempertahankan hubungan yang tidak jujur dan ada ‘orang ketiga’ dalam hubungan mereka.
“Sama seperti dialog dalam filem Ombak Rindu, ‘Cinta tak kejam, cuma manusia yang tak pandai untuk menghargainya.’ Bila kami sudah putus, barulah dia hendak menawan hati saya semula. Bila depan mata, saya tak dihargai langsung?
“Justeru, saya ingin beritahu pada semua, kami sudah putus dan kini hanya sekadar berkawan biasa saja,” katanya.
Ditanya sejauh mana kebenaran wujudnya orang ketiga, Miera mengakui perkara itu selepas menyiasatnya sendiri.
“Kami jarang bergaduh dan saya tidak percaya dengan tuduhan melulu, sebab itu saya cuba menyiasatnya sendiri. Bukannya dengar cerita kecurangan Shah (Shahrizal) itu daripada sebelah pihak saja kerana saya sudah kenal lama dengannya.
“Justeru, saya pun putuskan untuk bersemuka secara baik dengannya serta ‘Puteri’ yang juga orang ketiga dalam hubungan kami. Selain itu, perbincangan kami disertai PA (pembantu peribadi) Shah dan ibu saya sendiri.
“Selepas itu, Shah dan Puteri sendiri mengaku mereka sudah kenal lama sebelum saya bercinta dengannya lagi. Saya fikir mereka berkawan biasa tapi rupa-rupanya lebih daripada itu. Justeru, saya terus putuskan hubungan kami kerana tidak percaya pada Shah lagi,” katanya.
Apapun, Miera mengakui dia dan Shah mungkin tiada jodoh seperti diharapkan.
“Saya tidak ingin mencari teman lelaki di kalangan artis lagi selepas ini. Apapun, saya tidak mahu perbesarkan cerita ini lagi,” katanya.
Kata Miera, mereka putus secara rasmi pada pertengahan Januari lalu. Ketika itu, Shah baru saja kembali daripada menjayakan penggambaran di Australia.
“Saya juga tidak mahu terima pelbagai hadiah yang dibelikannya dari Australia kerana tidak dapat menerima kecurangannya itu. Saya percaya, dia juga beli hadiah yang sama untuk teman wanitanya yang lain,” katanya.
Jauh di sudut hati, Miera mengakui dia sukar untuk melupakan bekas kekasih yang pernah bertakhta di hatinya itu.
“Bohonglah, kalau saya beritahu tidak ada perasaan padanya lagi. Mungkin orang tak tahu, kami sudah kenal sejak zaman bangku sekolah lagi. Saya masih sayangkannya sampai sekarang.
“Saya akan beri peluang padanya jika dia berubah dan buang semua sifat dan perangai buruk yang ada dalam dirinya. Pada masa sama, saya memang tiada lelaki lain dalam hidup saya selepas Shah.
“Sampai masanya kami fikir kesalahan masing-masing dan perbaiki kelemahan diri. Dia kata, saya tak angkat telefon? Bukan tidak mahu angkat telefon, kami masih berkawan dan saya tak mahu bercakap kisah silam lagi,” katanya.
Mira ditemui di majlis permaidani merah, sempena Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH 2011) di Rafflesia The Pearl Centre, Hotel Park Royal, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Walaupun tidak tercalon, Miera tetap hadir untuk memberi sokongan pada acara glamor itu.
Ditanya komen gosip Shah bercinta dengan Fiza Elite, Miera yang tampil jelita dengan busana merah cili rekaan Riffai juga mengakui dia tidak tahu menahu mengenai gosip berkenaan.
“Memang, saya rapat dengan Shah tapi saya sendiri tak dapat nak komen mengenai gosip itu. Apa yang saya tahu, mereka memang berkawan baik tapi tak lebih daripada itu,” katanya.
Berbanding karier seni, cerita kontroversi Miera ternyata lebih mendapat perhatian ramai. Ia diakui Miera sendiri. Malah, ramai yang terlupa perkembangan karier seninya kerana terlalu banyak kontroversi dan kisah cinta yang dijaja peminat.
“Saya memang tidak dapat untuk elak kontroversi kerana sedar ia memang perlu dilalui semua artis. Sebagai orang baru, saya perlu belajar daripada kesilapan. Saya juga ingin dikenali ramai kerana bakat dan bukannya kontroversi dalam bidang seni,” katanya.
Mengenai perkembangan karier seninya, kata pelakon tinggi lampai ini, tawaran berlakon juga mencurah sepanjang dua tahun dia berkecimpung dalam bidang seni. Antara lakonannya ialah drama Friday I’m In Love. Selain itu, empat filem lakonannya ialah Jangan Pandang-Pandang, Rentaz, Pecah dan Cinta Atas Tar.
Bagaimanapun, kata Miera, dia mengakui lebih berminat beraksi di pentas filem berbanding dalam drama.
“Filem dan drama adalah dua genre yang berbeza. Berlakon filem ternyata lebih seni dan ia sangat mencabar berbanding drama. Saya juga dapat kepuasan yang lebih. Tapi bukan bermaksud saya tak mahu buat drama langsung. Saya buat juga drama kalau karakternya menarik dan mencabar,” katanya.
Trivia Miera
Hermes Birkin
Giant Teddybear
38
Tanah dan rumah
Aventador Ferrari
Semalam
Kaki perempuan (playboy)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan